Malam Simfoni Luka: For Revenge Bergabung Dengan Insomniacks & Midnight Fusic Januari Ini
- oleh MDaily Editor
- 7 Nov 2025 5:45 pm
Peminat muzik alternatif dan pop moden bakal dihidangkan dengan malam penuh emosi apabila tiga kumpulan berpengaruh, For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic, disatukan dalam konsert istimewa bertajuk “Malam Simfoni Luka” yang akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.
Konsert ini menjanjikan pengalaman muzik yang unik, menggabungkan elemen post-hardcore, pop moden dan alternatif dalam satu malam yang sarat emosi.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu ruang untuk menyatukan emosi antara artis dan peminat menerusi kekuatan muzik dan penceritaan jujur dalam setiap lagu.
“Konsert ini mengetengahkan tema luka dan penyembuhan, bagaimana muzik menjadi terapi bagi generasi muda hari ini. Kami mahu setiap detik di pentas menjadi pengalaman yang menyentuh hati,” katanya semasa sidang media pengumuman konsert diadakan di St. Giles Hotel, Kuala Lumpur, semalam.
Menggabungkan tiga nama yang membawa identiti tersendiri, Malam Simfoni Luka dijangka menawarkan pengalaman sonik yang kaya dengan emosi, refleksi dan tenaga.

For Revenge, kumpulan post-hardcore dari Indonesia yang sinonim dengan lagu seperti Serana dan Demi Semesta, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia buat kali kelima. Persembahan mereka sebelum ini di Sabah, Johor Bahru dan Kuala Lumpur sentiasa mendapat sambutan luar biasa.
“Yang paling mengujakan tentu saja audience di Malaysia. Semangat mereka selalu luar biasa. Ini mungkin kali kelima kami tampil di sana, dan kami sangat excited kerana energi penonton Malaysia selalu luar biasa,” kata Izha Muhammad daripada For Revenge yang menyertai sidang media secara maya.

Sementara itu, kumpulan pop moden popular Insomniacks yang terkenal dengan lagu Pulang dan Reminisensi turut bersedia memberikan persembahan penuh tenaga dengan set berdurasi 45 minit.
“Kita ada 45 minit set. Biasanya kita akan muatkan 8 ke 9 lagu dan sudah tentu Pulang antara yang akan dimainkan,”
“Persediaan kami dah bermula. Sekarang tengah diet dulu, mungkin bulan depan baru mula latihan penuh,” katanya Iqie berseloroh.

Kumpulan alternatif tempatan Midnight Fusic pula menjanjikan pengalaman sonik yang lebih intim dengan persembahan berdurasi 30 minit melibatkan enam buah lagu.
“Antara lagu yang pasti kami bawa antaranya Caramel Cream dan Sandiwara. Kami juga akan debut lagu baharu yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini,” kata vokalisnya, Arif Kamarudin.
Iman Tang dalam pada itu menjelaskan, penganjuran Malam Simfoni Luka diharap dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak konsert berkualiti di Malaysia yang menekankan aspek produksi, pengalaman dan nilai artistik.
“Tak berani nak cakap tapi insya-Allah, kalau sambutan bagus mungkin kita jadikan acara tahunan. Sekarang banyak band baru dan banyak event setiap minggu, tapi yang membezakan ialah kualiti produksi.
“Sebagai penganjur, kami mahu bawakan persembahan berkualiti ke Malaysia. Semua orang boleh buat show, bukan saya yang terbaik, tapi kami mahu memeriahkan industri dan menjadikannya lebih baik,” katanya.

Konsert Malam Simfoni Luka turut menjanjikan pencahayaan sinematik, susunan muzik eksklusif dan visual khas yang direka untuk membawa penonton menyelami pelbagai lapisan emosi dalam setiap lagu.
Harga tiket bermula RM188 hingga RM258 dan akan mula dijual pada 14 November 2025 (Jumaat), jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my
.




