Malam Silaturahim, sebuah acara eksklusif anjuran HS Event & Entertainment Sdn. Bhd., bakal menyatukan 12 artis legenda tanah air dalam satu malam penuh nostalgia.
Bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), acara ini menjanjikan persembahan memukau oleh bintang-bintang tersohor yang pernah mencipta sejarah dalam industri seni.
Para peminat akan dihiburkan dengan gabungan suara emas dan persembahan istimewa daripada Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAP C, Bagio, Amir Ukays, Wan Bossanova dan Noorshila Amin.
Malam Silaturahim bukan sahaja sebuah platform hiburan, tetapi turut bertujuan membantu penggiat seni dan rakan media yang kurang bernasib baik.
Dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), sumbangan khas berupa wang tunai akan disalurkan kepada 20 individu yang pernah berjasa dalam bidang seni dan media.
Selain persembahan, acara ini juga memberi penghormatan kepada tiga nama besar yang telah menjadi tulang belakang industri seni, iaitu Ali Bakar, Dollah Bacha, dan Saari Amri.
Menurut penganjur, Datin Hajah Rosmariza Dato’ Hj Che Umar, objektif utama program ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama penggiat seni sambil menghargai jasa mereka.
“Acara ini adalah ruang untuk menyatukan semua yang pernah menyumbang kepada kejayaan industri seni tanah air,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan Malam Silaturahim boleh didapati bermula 27 November 2024 pada harga serendah RM150. Dewan Merdeka dipilih sebagai lokasi kerana kapasiti penontonnya yang mampu menampung sehingga 1,500 orang.
Dengan gabungan artis legenda ini, Malam Silaturahim dijangka menjadi acara yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat seni tanah air.