Malam Rindu Bayangan: Persembahan Amal Menghargai Legenda Seni, Jay Jay
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Sebuah sidang media penuh emosi telah diadakan hari ini di Hotel Grand Barakah, Ampang bagi mengumumkan penganjuran acara khas Malam Rindu Bayangan, satu persembahan amal makan malam sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Jay Jay, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi bin Darus, yang meninggal dunia pada 4 Ogos 2024 pada usia 67 tahun.
Acara istimewa ini akan berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025, jam 8.00 malam, bertempat di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang.
Ia akan menghimpunkan barisan artis legenda dan pemuzik tanah air yang pernah berkongsi pentas dan kenangan bersama arwah, dalam satu malam penuh kasih dan kenangan.
Antara nama besar yang bakal menghangatkan pentas ialah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), dan Tam (Spider).
Turut membuat kemunculan istimewa adalah barisan asal kumpulan Carefree, kumpulan yang pernah membawa Jay Jay ke puncak kegemilangan.
Persembahan pembukaan pula akan diserikan oleh penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah, dengan iringan pemuzik berpengalaman seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist dan Firdaus.
Penganjuran acara ini tercetus apabila anak bongsu Allahyarham, Nur Camelia (Cammy) menghubungi sahabat karib arwah, Dato’ Freddie, menyuarakan hasrat untuk menganjurkan satu malam penghargaan bagi mengenang jasa ayahandanya dalam dunia seni tanah air.
Selain persembahan, malam itu turut menampilkan jualan amal lukisan oleh pengkarya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots) serta penampilan Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arah seni album Jay Jay sepanjang kerjayanya.
Keseluruhan hasil kutipan malam amal ini akan disalurkan kepada artis-artis tanah air yang memerlukan bantuan.
Sebagai simbolik, pada sidang media hari ini, sumbangan telah disampaikan kepada tiga penerima utama iaitu: Shuib (Freedom), Ramlah (balu Allahyarham Yazit Search), dan Ali (XPDC).
Dato’ Freddie turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan menyokong acara ini, sama ada melalui pembelian meja atau tiket individu.
Harga meja ditawarkan pada kadar RM1,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000, manakala tiket individu berharga RM150 dengan kuota terhad kepada 100 tempat sahaja.
“Malam ini bukan sahaja untuk mengenang seorang sahabat yang amat berdedikasi dan berbakat, tetapi juga sebagai peluang untuk kita semua memberi kembali kepada dunia seni.”
“Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini,” kata Dato’ Freddie.
Tempahan meja, pembelian tiket dan pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi talian 012-2071400.