Malam Pesta Ronggeng Hidupkan Semula Nostalgia Muzik Klasik di Saloma KL
- oleh MDaily Editor
- 18 Jul 2025 5:43 pm
Irama nostalgia dari era kegemilangan Tan Sri P. Ramlee dan Saloma kembali bergema menerusi penganjuran Malam Pesta Ronggeng yang berlangsung meriah di Saloma Kuala Lumpur baru-baru ini.
Acara anjuran HS Event & Entertainment itu menjadi medan menghidupkan semula keindahan muzik klasik Melayu yang semakin dilupakan, dengan persembahan eksklusif daripada kumpulan Aruel & The Fasola yang berjaya membawa penonton mengembara ke zaman silam penuh romantik dan bergaya.
Menggabungkan elemen tradisi dan sentuhan moden, Malam Pesta Ronggeng disifatkan sebagai satu platform istimewa yang bukan sahaja menghiburkan, malah memupuk semula apresiasi terhadap warisan muzik lama di kalangan generasi muda.
“Kami ingin hidupkan semula suasana klasik dan kenangan indah menerusi lagu-lagu nostalgia yang dekat dengan jiwa ramai. Lagu-lagu seperti karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma bukan sekadar muzik, ia warisan,” kata Aruel, vokalis utama kumpulan itu.
Menurut Aruel, persembahan mereka disusun dengan gubahan baharu yang tetap mengekalkan keaslian lagu namun diberi suntikan irama Latin dan jazz seperti Cha Cha, Rumba, Bossa dan Twist yang memberi nafas segar kepada karya lama tanpa menjejaskan rohnya.

Aruel & The Fasola
Konsep malam itu juga diinspirasikan daripada suasana ‘Buloh Inn’, tempat hiburan klasik suatu masa dahulu yang terkenal dengan alunan muzik hidup dalam suasana eksklusif.
Penganjur program, Datin Riza Che Umar berkata acara ini diharap menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula muzik klasik di pentas komersial.
“Objektif utama kami ialah untuk mengembalikan semula memori indah muzik klasik kepada masyarakat, terutama golongan muda, sambil meraikan peminat muzik lama,” jelasnya.
Tambah Riza, sambutan terhadap acara ini sangat memberangsangkan dengan tempahan penuh sebanyak 50 meja untuk dua malam persembahan. Beliau juga optimis untuk menjadikan Malam Pesta Ronggeng sebagai acara berkala setiap empat bulan di Saloma KL.
“Insya-Allah, kami mahu pastikan hiburan berkonsepkan klasik terus hidup dan mendapat tempat di hati penggemar seni tanah air,” katanya.
Malam Pesta Ronggeng bukan sekadar sebuah acara hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi bukti bahawa muzik klasik terus relevan dan mampu menyatukan pelbagai lapisan generasi menerusi alunan melodi, lirik yang bermakna serta persembahan penuh jiwa.
Harga tiket yang ditawarkan bermula dengan kategori Diamond (VIP) berharga RM8,000 atau RM800 seorang yang turut merangkumi makan malam dan barangan rasmi.
Seterusnya, kategori Platinum berharga RM6,000 atau RM600 seorang turut menawarkan pakej yang sama, manakala kategori Gold pula ditawarkan pada harga RM4,000 atau RM400 seorang dengan keistimewaan serupa.
Untuk pembelian tiket atau tempahan meja, orang ramai boleh menghubungi SNI di talian 012-662 4079, Hatta di 018-223 9934 atau Joe di 017-470 5455.




