Malam Penuh Bintang! Makan Malam Amal Legends Bawa Barisan Gitar Hero ‘Legends’
- oleh MDaily Editor
- 3 Dec 2025 10:08 pm
Pentas Putra World Trade Centre (PWTC) bakal digegarkan dengan persembahan istimewa daripada barisan pemuzik dan gitaris lagenda tanah air dalam acara ‘Makan Malam Amal Legends’ pada 27 Disember 2025 (Sabtu), jam 8:00 malam.
Acara amal anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) ini bermatlamat mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia.
Antara tarikan utama malam itu ialah persembahan eksklusif barisan pemain gitar ikonik yang digelar sebagai Penampilan Khas Gitar Hero Lagenda.

Mereka yang terlibat adalah Kid, Man Kidal, Shahrul Ekamatra, dan Simon Carefree. Mereka akan diiringi oleh artis-artis utama lain.
Pengerusi KARYAWAN, Dato’ Khatijah Ibrahim, menjelaskan bahawa konsep persembahan ini lahir daripada permintaan khas Abang Ramli (Datuk Ramli Sarip), yang mahu Karyawan membuat konsert Sweet Charity.
Man Kidal bakal menggantikan tempat Rosli Mohalim, yang tidak dapat menyertai persembahan pada malam tersebut. Man Kidal juga bertindak sebagai Pengarah Muzik untuk segmen ini.
Pemain gitar ini dijadualkan menunjukkan kemahiran mereka dengan memainkan lagu-lagu segmen mereka sendiri.

“Mereka inilah yang akan mengalu-alukan Sweet Charity naik ke pentas nanti, menunjukkan skill mereka sebelum Sweet Charity ada,” kata Dato’ Khatijah.
Selain persembahan gitaris, malam itu turut dimeriahkan oleh artis-artis utama seperti Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Ito Blues Gang, Mariam Ahmad, Helen Veleu, Kopratasa, Datuk Andre Goh, dan ORA Band.
Dato’ Khatijah juga mendedahkan bahawa kumpulan Kopratasa dijadualkan berduet dengan Sweet Charity, menyanyikan dua lagu yang pernah mereka rakamkan dalam album Sweet Charity.
Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez, menegaskan bahawa tujuan utama Karyawan adalah kebajikan, namun penganjuran konsert lagenda ini juga penting.

“Persembahan istimewa seperti ini akan membakar semangat peminat dan orang dalam industri untuk terus maju dan terus memberikan perkembangan yang positif kepada industri,” ujar Dato’ Freddie.
Beliau turut mengumumkan rancangan Karyawan untuk mengadakan festival hip-hop pada Mei tahun hadapan selepas raya, untuk melibatkan artis muda.
Bagi menarik minat golongan muda, Dato’ Khatijah Ibrahim mengalu-alukan kehadiran pelajar universiti atau sekolah untuk menyaksikan konsert ini.
Beliau menawarkan harga tiket serendah RM88 bagi tempat duduk bukan makan malam di Aras 5 dan Aras 6 PWTC. Ini disifatkan sebagai pengalaman yang bagus untuk mereka melihat lagenda gitaris dari Malaysia.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket (Meja RM3,000, RM5,000, RM10,000), orang ramai boleh menghubungi Dato’ Khatijah Ibrahim di talian 016 233 8888 / +60 12-207 1400 atau melayari laman web Karyawan di www.karyawan.my.




