Ikuti Kami:

Malam Mendengar: Nadin Amizah Bawa Magis Orkestra ke Malaysia

Malam Mendengar: Nadin Amizah Bawa Magis Orkestra ke Malaysia

Penyanyi dan penulis lagu tersohor Indonesia, Nadin Amizah, kembali dengan showcase “Malam Mendengar Nadin Amizah” yang bakal berlangsung malam esok di Zepp Kuala Lumpur.

Lebih istimewa tiket showcase ini telah habis dijual, menandakan sambutan luar biasa daripada peminat tempatan.

Dianjurkan oleh Renjana Idea, ini adalah kali kedua Nadin tampil di pentas Zepp KL.

Namun, persembahan kali ini membawa kelainan dengan format orkestra, satu pengalaman pertama buat Nadin di luar Indonesia.

“Saya membawa 40 pemuzik orkestra dari Jakarta, dan ini merupakan pengalaman pertama saya di Malaysia dengan format ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana merealisasikan impian besar ini,” katanya.

Peminat yang berjaya mendapatkan tiket bakal disajikan dengan lebih daripada 10 lagu yang disusun semula khas untuk format orkestra ini.

Pengarah muzik Lasta Pratom turut memainkan peranan penting dalam memastikan setiap susunan muzik memaparkan keindahan, kelembutan dan emosi dalam setiap lagu.

“Saya membuat gubahan muzik sendiri untuk persembahan ini, dan saya rasa ini antara diskografi terbaik sepanjang karier saya. Saya mahu muzik ini mencipta rasa santai tetapi mendalam, memberi peluang kepada penonton untuk benar-benar tenggelam dalam keindahan muzik,” jelas Nadin.

Walaupun format persembahan berbeza daripada versi asal di Jakarta, di mana penonton dapat menikmati muzik sambil berbaring, Nadin yakin elemen orkestra akan tetap memberikan pengalaman mendalam yang tidak dapat dilupakan.

Showcase ini juga menjadi titik perubahan buat Nadin, yang tampil dengan imej baharu berambut perang serta pilihan lagu yang mencerminkan kematangan dan keberaniannya sebagai artis.

“Saya berharap selepas konsert kali ini, peminat dapat memahami arah muzik saya dengan lebih mendalam. Apa yang saya cuba sampaikan melalui lagu-lagu ini bukan sekadar melodi tetapi jiwa dan pengalaman,” tambahnya.

Komen
Loading...