Dunia seni tempatan bakal diserikan dengan Malam Laguan Puisi: Bunyi Irama dan Prosa, sebuah acara unik yang menggabungkan muzik dan puisi.
Bakal berlangsung di Panggung Eksperimen, ASWARA, pada Sabtu, 8 Februari 2025, jam 9 malam, acara ini menampilkan artis seperti Aqasha, Azizul Hakim, Ayu Damit, dan Leaisme yang bakal membawa karya-karya puisi ke pentas dengan sentuhan muzik istimewa.
Projek ini yang dianjurkan oleh FB Media Ventures adalah sebahagian daripada inisiatif Arts For All Seasons (ArtsFAS) dibawah Yayasan Hasanah, dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia.
Menurut Pengarah Projek, Syamsul Khairil, acara ini bertujuan untuk mengangkat seni puisi dan muzik ke satu tahap baru.
“Projek ini merupakan usaha untuk mencipta satu pengalaman seni yang unik melalui gabungan puisi-puisi karya Sasterawan Negara dan komposisi muzik.
“Dengan sokongan daripada ASWARA, ITBM, dan Persatuan Deklamator Malaysia, kami ingin memberi ruang kepada audiens untuk menikmati keindahan seni ini,” katanya.
Penyanyi dan pelakon, Aqasha, menyifatkan projek ini sebagai usaha penting dalam memartabatkan seni.
“Projek seperti ini adalah tanggungjawab kita untuk melestarikan seni puisi dan muzik untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurut Aqasha, memahami sejarah dan kesenian terdahulu adalah langkah penting untuk menghargai perjalanan seni itu sendiri.
“Saya percaya penting untuk mengenali sejarah dan kesenian terdahulu, kerana daripadanya kita dapat memahami rentetan sejarah melalui seni,
“Nama-nama besar seperti Dato’ Usman Awang dan Dato’ Seri A. Samad Said sentiasa menjadi inspirasi buat saya,” jelas Aqasha.
Leaism atau Ilyahida penyanyi serba boleh dan berbakat besar, meluahkan rasa terharunya kerana diberi peluang menyertai projek ini, melagukan puisi, terutamanya karya besar yang pernah dipelajari di sekolah, memberikan pengalaman yang mendalam.
“Saya percaya inisiatif seperti ini penting untuk membangkitkan minat generasi muda terhadap seni puisi dan muzik,”
“Ia membuka ruang untuk audiens menikmati seni tempatan dengan cara baru dan unik, menjadikan puisi bukan sekadar bacaan tetapi pengalaman muzik yang menyentuh jiwa,” tambahnya.
Acara ini bakal menampilkan sebanyak 10 lagu puisi, termasuk karya agung Sasterawan Negara seperti Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Datuk Dr Zurinah Hassan, Dato’ Baha Zain, Dato’ Rahman Shaari dan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh.
Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati gabungan keindahan muzik dan puisi dalam satu malam penuh nostalgia dan seni.
Foto Oleh : Pa Pa Din