Malam Ini Jamil Mula Langkah! ‘Madu Tiga: Live In Concert’ Di Pentas DFP
- oleh MDaily Editor
- 23 Jan 2026 12:36 pm
Demam ‘Madu Tiga’ kembali melanda ibu kota apabila karya agung seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu bakal dihidupkan semula dalam dimensi luar biasa oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC bermula malam ini.
Menerusi konsert bertemakan P. Ramlee’s Madu Tiga: Live In Concert, penonton bakal merasai pengalaman sinematik unik menyaksikan gelagat Jamil dan tiga isterinya di skrin besar, sambil diiringi runut bunyi yang dipersembahkan secara langsung oleh orkestra penuh.
Konsert yang dinanti-nantikan ini akan dipimpin oleh konduktor terkenal, Ahmad Muriz Che Rose. Beliau akan mengemudi MPO untuk menyelaraskan setiap nota muzik dengan dialog dan aksi komedi dalam filem tersebut, memberikan nafas baru kepada lagu-lagu evergreen seperti Pukul Tiga Pagi, Selamat Pengantin Baru, dan lagu tema Madu Tiga.

Inisiatif MPO ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk mendekatkan muzik klasikal dan simfoni kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda dan penonton baru.
Ini merupakan kali kedua MPO mengiringi tayangan filem tempatan selepas kejayaan runut bunyi OlaBola pada tahun 2017, selain reputasi cemerlang mereka dalam mempersembahkan muzik bagi filem-filem Hollywood sebelum ini seperti Harry Potter, La La Land, dan Home Alone.
Memasuki tahun ke-28 penubuhannya, MPO membuktikan pengaruh mereka masih teguh.
“Kami mahu membawa penonton menghayati semula satira tajam P. Ramlee dalam suasana yang lebih gah dan eksklusif,” menurut kenyataan MPO.
Susulan tiket bagi persembahan hari Sabtu (24 Januari) yang hampir habis dijual, pihak penganjur telah menambah tarikh tambahan iaitu pada malam ini bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak mahu ketinggalan.




