Ikuti Kami:

Malam Ini Gua Rock: M. Nasir Persembah Karya Rock Paling Ikonik

Malam Ini Gua Rock: M. Nasir Persembah Karya Rock Paling Ikonik

Sang legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 27 September 2025 dengan konsert penutup trilogi yang paling dinanti, DATO’ M.N46IR CIPTA 3, yang kali ini tampil dengan konsep istimewa Malam Ini Gua Rock.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment dengan kerjasama strategik utama bersama Etiqa ini dijangka menjadi malam penuh tenaga dan nostalgia apabila M. Nasir mempersembahkan sendiri karya-karya rock paling ikonik ciptaan dan nyanyiannya yang telah mewarnai muzik Nusantara selama puluhan tahun.

Ini bukan sekadar penutup kepada trilogi CIPTA, tetapi juga sebuah perayaan muzik rock yang menampilkan sisi berbeza maestro berusia 67 tahun itu.

Ia menyusuli kejayaan dua konsert terdahulu, DATO’ M.N45IR CIPTA dan CIPTA 2 pada tahun 2024, yang masing-masing menarik ribuan peminat serta mencetuskan momen unik seperti hujan wang RM1 bernilai RM10,000 dan persembahan lagu raya sebagai penutup.

Lahir daripada kejutan konsert tersebut, DATO’ M.N45IR CIPTA RAYA pula menjadi pentas istimewa lagu-lagu raya ciptaan M. Nasir yang berlangsung pada April 2025.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menegaskan konsert ini akan memberi kejutan yang berbeza walaupun merupakan bahagian ketiga trilogi.

“Mungkin ada yang kata, ‘konsert M. Nasir lagi?’ atau ‘lagu apa pula kali ini?’ Tapi percayalah, ini bukan pengulangan. Ini adalah malam rock yang belum pernah beliau persembahkan sebelum ini,” ujarnya.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu seperti Pawana, Intanku Kesepian, dan Sejati yang pernah melonjakkan nama kugiran seperti Search dan Wings, tetapi kali ini disampaikan semula oleh penciptanya sendiri dalam bentuk seni tersendiri.

M. Nasir menganggap konsert ini sebagai satu keraian bukan sahaja terhadap dirinya dan peminat, tetapi terhadap warisan muzik rock tempatan yang masih lagi ‘Hidup’ di Malaysia.

“Konsert ini adalah keraian. Keraian dalam cara rock, Dalam dunia rock, rock itu satu tenaga. Tenaga yang sukar untuk ditinggalkan. Walaupun orang kata rock sudah mati, sebenarnya tidak. Rock itu masih ada,” ujar beliau.

Menambahkan lagi keunikan malam tersebut, para peminat digalakkan hadir dengan tema Rock Cara Lu… Janji Rock, sebagai simbol ekspresi bebas terhadap gaya rock masing-masing.

Harga tiket konsert bermula dari RM258 hingga RM628 dan boleh didapati di www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau menerusi hotline WhatsApp 012-6530700.

Pra-jualan eksklusif dibuka kepada pengguna aplikasi Etiqa+ pada 3 Julai 2025, jam 2 petang, manakala jualan umum bermula pada 4 Julai 2025, jam 11 pagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi saksi kepada malam penuh sejarah dan tenaga ini. Malam Ini Gua Rock dan hanya yang hadir akan benar-benar merasainya.

Komen
Loading...