Ikuti Kami:

Malam Hijrah Bergema: Dakwah Kreatif Satukan Ummah Sambut Tahun Baharu

Malam Hijrah Bergema: Dakwah Kreatif Satukan Ummah Sambut Tahun Baharu

Dalam usaha menyuntik elemen kerohanian pada sambutan ambang tahun baharu, Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

​Program yang berlangsung dalam suasana tertib dan penuh penghayatan itu membuktikan bahawa gabungan seni dan dakwah merupakan medium berkesan dalam menyampaikan mesej penghijrahan jiwa kepada masyarakat.

​Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah, serta barisan Ketua Agensi Hal Ehwal Agama mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasa syiar Islam melalui cabang seni.

​Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penganjuran konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya merupakan platform dakwah kontemporari yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

​“Kami melihat seni sebagai bahasa masa hadapan dakwah. Apabila mesej Islam disampaikan dengan hikmah, kreativiti dan keindahan, ia bukan sahaja menyentuh hati, malah membina pemikiran serta menyatukan generasi.

​“Hijrah yang ingin diketengahkan bukan sekadar perubahan luaran, tetapi melibatkan hijrah jiwa, akhlak dan cara berfikir,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
​Konsert berkenaan menampilkan barisan artis nasyid popular seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz dan Mawi, selain barisan Munsyid Muda seperti Simfoni dan Rabithah.

​Suasana semakin bertenaga namun penuh keinsafan apabila penyanyi legenda tanah air, Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash tampil menyampaikan karya berunsur dakwah seperti Pergi Tak Kembali, Nurkasih, Ghazal Untuk Rabiah dan Kian.

​Setiap persembahan disusun rapi bagi membawa hadirin menyelami makna hijrah melalui lirik yang sarat dengan mesej keinsafan dan harapan kepada Ilahi.


Konsert Malam Bergema turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli

​Kemuncak program menyaksikan ribuan penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, sekali gus mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa dan muhasabah.

​Rata-rata pengunjung menyifatkan konsert tersebut sebagai satu pengalaman yang memberi ketenangan dan inspirasi, selain menjadi alternatif bermakna untuk menyambut tahun baharu bersama keluarga dalam suasana yang beradab.

​Melihat kepada sambutan yang luar biasa, TV AlHijrah berhasrat menjadikan Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai acara tahunan dalam menyemarakkan pengisian rohani sempena ambang tahun baharu pada masa akan datang.

Komen
Loading...