Malam Gala Filem Seram Lembayung Meriah di GSC Tropicana Gardens Mall
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Malam gala filem seram Lembayung berlangsung dengan penuh gemilang di GSC Tropicana Gardens Mall dihadiri oleh bintang utama filem tersebut, Anna Jobling dan Arya Saloka, serta pengarah terkenal, Baim Wong.
Lembayung diinspirasikan daripada kisah yang viral diaplikasi X mengenai kisah perjalanan dua pelajar kejururawatan, Pica dan Arum, yang menjalani praktikal (PKL) di Klinik Lembayung, sebuah klinik lama yang baru dibuka semula selepas bertahun-tahun ditutup.
Klinik ini dikaitkan dengan kisah tragis seorang doktor, Dr. Tantri, yang membunuh diri beberapa tahun lalu.
Segalanya menjadi menyeramkan apabila seorang pesakit misteri berambut panjang muncul di klinik tersebut pada suatu malam. Tingkah laku pelik wanita itu mencetuskan ketakutan kepada Pica dan Arum.
Namun, misteri itu semakin mendalam apabila wanita itu terus menghantui mereka, malah muncul dalam mimpi buruk Arum.
Kejadian ganjil terus menghantui hospital itu, termasuk kematian tragis beberapa pekerja. Ketika Arum mula dirasuk, Pica nekad untuk membongkar rahsia di sebalik Klinik Lembayung sebelum semuanya menjadi lebih parah.
Anna Jobling memainkan watak sebagai Dr. Tantri, karakter yang menjadi kunci kepada misteri yang melingkari Klinik Lembayung.
Filem ini telah mencipta sejarah di Indonesia apabila tersenarai dalam 10 filem paling popular berdasarkan jumlah penonton. Kini, Lembayung bersedia untuk memukau penonton di Malaysia.
Anna Jobling mengakui teruja dapat berganding dengan Arya Saloka, bintang terkenal Indonesia.
Sementara itu, Baim Wong, pengarah filem, berkongsi bahawa Lembayung bukan hanya filem seram biasa tetapi penuh dengan unsur psikologi dan emosi yang mendalam.
Bagi peminat filem seram, jangan lepaskan peluang menyaksikan Lembayung di pawagam bermula 5 Disember ini. Seramnya pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Foto Oleh: Zizi Hashim.