‘Malam FYP Timur’ Silet Open Up, Faris Adam Dan Ecko Show Temui Peminat Di Zepp KL
- oleh MDaily Editor
- 5 Feb 2026 12:27 pm
Fenomena muzik dari Timur Indonesia yang mencetuskan gelombang di media sosial bakal menghangatkan ibu kota apabila konsert ‘Malam FYP Timur’ dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 April depan.
Konsert yang dibawakan khas oleh Gaga Entertainment itu bakal menampilkan tiga nama besar yang kini mendominasi carta penstriman digital iaitu Silet Open Up, Faris Adam, dan Ecko Show.
Wakil penganjur berkata, acara itu dianjurkan bagi meraikan kebangkitan budaya muzik Timur Indonesia yang semakin mendapat tempat di hati generasi muda, khususnya dalam kalangan Gen Z dan Milenial di Malaysia.

“Kami mahu membawa muzik Timur Indonesia yang kini menjadi fenomena digital terus ke pentas Malaysia. Malam FYP Timur bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan budaya, tenaga muda dan hubungan serantau melalui muzik,” kata dalam satu sidang media semalam.
Antara barisan artis yang bakal memeriahkan malam tersebut termasuklah Silet Open Up, peneraju gerakan muzik Timur Indonesia yang terkenal dengan lagu hit Tabola Bale yang mencecah lebih 475 juta penstriman di Spotify, serta Faris Adam, penyanyi-penulis lagu dari Maluku yang tular menerusi karya Stecu Stecu.

Melengkapkan senarai hebat ini ialah Ecko Show, ikon hip hop Indonesia yang cukup dikenali dengan lirik tajam serta penceritaan realiti kehidupan anak muda yang mendalam.
Mengambil inspirasi daripada konsep “For You Page” (FYP) di aplikasi TikTok, konsert ini menjanjikan pengalaman interaktif yang unik, menggabungkan elemen digital dengan persembahan secara langsung.
Selain menjadi medan hiburan, konsert ini turut dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui pengaruh muzik rentas sempadan.

Tiket bagi konsert berkapasiti 2,414 penonton ini mula dijual pada harga RM188 sehingga RM238 bagi kategori berdiri dan duduk, manakala kategori VIP Box ditawarkan pada harga RM5,000.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi Ticket2U di www.ticket2u.com.my/MalamFYPTimur.




