Ikuti Kami:

Malam Anugerah Ikon Kebajikan 2025 Raikan Pejuang Kemanusiaan

Malam Anugerah Ikon Kebajikan 2025 Raikan Pejuang Kemanusiaan

Malam Anugerah Ikon Kebajikan 2025 berlangsung penuh gemilang di ibu negara semalam bagi meraikan individu, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi tulang belakang dalam memperjuangkan kebajikan, kemanusiaan serta kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Majlis berprestij itu dinaungi oleh Yang Amat Mulia Raja Saidatul Mardiah Binti Almarhum Sultan A’fifuallah Shah, yang turut berkenan hadir menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima.

Kehadiran baginda menyemarakkan suasana malam berkenaan, selain menyuntik inspirasi kepada para aktivis kebajikan yang hadir.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua penerima kerana terus melakukan kerja-kerja kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Saya berharap agar usaha ini diteruskan, terutamanya dalam membantu golongan wanita, anak yatim dan asnaf supaya kebajikan dapat dirasai secara berterusan oleh semua lapisan masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan harapan agar NGO dan pertubuhan kebajikan tempatan terus melaksanakan usaha murni secara konsisten serta memperkukuh semangat prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kebajikan bukan hanya sekadar memberi bantuan, tetapi melibatkan kasih sayang, empati dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Apabila nilai-nilai ini disemai dalam diri rakyat, negara akan menjadi lebih harmoni dan sejahtera,” titah baginda lagi.

Acara yang berlangsung dari jam 7 malam hingga 11 malam itu mengiktiraf 10 penerima utama Anugerah Aktivis Kebajikan 2025 yang cemerlang dalam pelbagai bidang kebajikan.

Antara penerima termasuk Che Zarina Bashir Ahmad (Anugerah Inspirasi Keusahawanan), Hassan Mohammad atau Ayahmi (Anugerah Penasihat dan Pendukung Masyarakat), Farhana Fadzilah Husani (Anugerah Sumbangan Cemerlang Kesihatan Komuniti) dan Susi Nurani Razikin (Anugerah Inspirasi Pembangunan Insan dan Syiar Islam).

Turut diraikan ialah Dato’ Fatimah Sharmine Mohd Aris (Anugerah Aktivis Prihatin Ibu Tunggal dan Asnaf), Kamariah Mohd Arshad atau Kay Maria (Anugerah Kebajikan Insan Seni), Dato’ Paduka Kamaruddin Manap (Anugerah Pendukung Warisan dan Masyarakat), Dato’ Yana Harniza Meor Idris (Anugerah Inspirasi Kepimpinan), Norasikin Mohd Aris (Anugerah Kecemerlangan Persatuan Dalam Pembangunan Masyarakat) dan Azhari Ibrahim (Anugerah Inspirasi OKU).

Kemuncak majlis menyaksikan Dato’ Yana Harniza Binti Meor Idris dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Ikon Kebajikan 2025, pengiktirafan tertinggi atas sumbangan besar beliau dalam memperkasa gerakan kebajikan wanita serta memperkukuh jaringan sukarelawan di seluruh negara.

Dato’ Yana yang juga Penasihat Media Jabatan Polis Perkep KDN/KA turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan terhadap aktiviti sukarelawan digerakkan Kelab Ikon Sukarelawan Wiranita Malaysia.

“Kadang-kadang kita tidak perlu bantuan besar untuk mengubah kehidupan seseorang. Cukup dengan perhatian, kasih sayang dan keprihatinan. Saya percaya setiap individu mampu menjadi agen kebajikan jika diberi peluang dan ruang untuk berbakti,” ujar beliau.

Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk memperluaskan lagi aktiviti kemanusiaan, termasuk memperkasakan wanita luar bandar, asnaf dan masyarakat Orang Asli melalui latihan kemahiran serta program pembangunan kendiri.

Majlis penuh makna itu turut dihadiri lebih 100 penerima manfaat kesejahteraan sosial (PMKS), aktivis pelbagai NGO kebajikan, serta veteran industri seni dan tokoh masyarakat yang bersama menyemarakkan semangat prihatin demi kesejahteraan negara.

Komen
Loading...