Malam Amal ‘Legends’ Himpun Sweet Charity, Kopratasa & Dato’ Khatijah Ibrahim di Melaka
- oleh MDaily Editor
- 23 Sep 2025 8:32 pm

Foto Oleh: Papadin.
Majlis makan malam amal “Legends” anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bakal menjadi tumpuan apabila menghimpunkan artis-artis legenda tanah air seperti Sweet Charity, Kopratasa, Dato’ Khatijah Ibrahim, Ito Blues Gang, Datuk Andre Goh, S. Mariam dan Helen Vellu di Melaka International Convention Centre (MITC) pada 1 November 2025.
Gabungan nama besar ini dijangka mencetuskan malam penuh nostalgia dengan rangkaian persembahan istimewa sambil menjayakan misi utama untuk mengumpul dana bagi membantu artis veteran yang uzur dan memerlukan.
Menurut Dato’ Khatijah Ibrahim, Pengerusi KARYAWAN, penganjuran malam amal ini bukan sahaja mengekalkan kelangsungan seni legenda malah menjadi ruang untuk peminat sama-sama menyumbang kepada artis yang memerlukan.
“Kita bukan hanya untuk menghiburkan diri, tetapi juga menyumbang kepada tabung bantuan artis di bawah persatuan. Hasil sumbangan daripada majlis ini akan memastikan persatuan terus berperanan menjaga kebajikan lebih 7,000 artis tanah air, khususnya mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez, pula menegaskan bahawa harga meja yang ditetapkan adalah sepadan dengan kos penganjuran memandangkan majlis ini menampilkan barisan artis hebat dengan persiapan teknikal yang besar.
“Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk meneruskan usaha kebajikan KARYAWAN. Kami mahu memastikan artis-artis veteran yang memerlukan bantuan tidak dipinggirkan, di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa dalam industri seni tanah air,” jelasnya.
Terdahulu, KARYAWAN pernah menganjurkan Malam Legenda di Kuala Lumpur dan Sabah yang mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik tanah air.
Kali ini, Melaka pula dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi memberi peluang kepada peminat di selatan tanah air menikmati persembahan legenda-legenda muzik secara lebih dekat.
Untuk majlis kali ini, pakej meja amal ditawarkan pada harga bermula RM3,000 hingga RM100,000 termasuk ruang pameran eksklusif untuk penaja Platinum dan Berlian.
Tempahan meja boleh dibuat melalui Dato’ Khatijah Ibrahim (016-233 8888) atau Dato’ Freddie Fernandez (012-207 1400).