Maksim Mrvica Kembali: Persembahan Pianis Sensasi di Mega Star Arena Esok
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Pianis bertaraf dunia, Maksim Mrvica, kembali memukau peminat di Kuala Lumpur menerusi siri jelajah terkini, Maksim World Tour Segmenti.
Persembahan yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung esok, 12 Februari, di Mega Star Arena, KL pada jam 8.30 malam.
Penganjuran oleh Lo-Fi Entertainment ini menjanjikan pengalaman muzik yang luar biasa apabila Maksim, yang dikenali dengan gaya classical crossover-nya, akan tampil bersama orkestra penuh.
Pemuzik berbakat kelahiran Šibenik, Croatia, itu akan mempersembahkan repertoir terbaik daripada album terbaharunya, Segmenti, termasuk gubahan semula lagu popular ABBA dan Queen, serta karya klasik abadi seperti ciptaan Chopin, Prokofiev, dan Tchaikovsky.
Maksim, yang telah menamatkan pengajian di beberapa institusi muzik terkemuka seperti Akademi Muzik Zagreb dan Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, telah mengangkat seni piano ke tahap baharu.
Berbekalkan gaya permainan pantas dengan keupayaan mencecah 16 nota sesaat, persembahan Maksim sering diwarnai dengan sentuhan dramatik dan emosi yang mendalam.
Antara karya paling diingati termasuk Croatian Rhapsody, “Flight of the Bumblebee”, serta tema filem terkenal seperti Pirates of the Caribbean, Game of Thrones, dan Mission Impossible.
Para peminat yang belum mendapatkan tiket masih boleh berbuat demikian di www.ticketingtix.com.
Harga tiket bermula dari RM188 (CAT 4) hingga RM888 (VIP). Untuk maklumat lanjut, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram dan Facebook.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan yang pasti akan menjadi malam penuh keajaiban muzik ini!