Ikuti Kami:

Majlis Amal “Legends” Bakal Gegar Kota Kinabalu, Gabungan 11 Artis Ternama untuk Kutipan Dana Karyawan

Majlis Amal “Legends” Bakal Gegar Kota Kinabalu, Gabungan 11 Artis Ternama untuk Kutipan Dana Karyawan

KUALA LUMPUR, 26 September 2024 – Misi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam membantu para artis dan ahlinya diteruskan ke Sabah menerusi jelajah konsert amal, Legends. Ini merupakan konsert kedua selepas diadakan di ibukota pada Jun lalu dan menjadi konsert pertama persatuan di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez sejak wabak COVID-19.

Pengerusi Karyawan, Dato Khadijah Ibrahim, memaklumkan bahawa seramai 11 pemuzik dan penyanyi akan menyertai persembahan di Kota Kinabalu, termasuk Dato Ramli Sarip, Dato Jamal Abdillah, dan gitaris terkenal, Man Keedal. Konsert ini akan berlangsung di Sabah International Convention Centre dan berdurasi hampir tiga jam.

“Sepertimana konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini, persembahan di Sabah juga bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Karyawan bagi membantu meringankan beban para penggiat seni yang memerlukan. Sejak enam bulan yang lalu, Karyawan telah memberi bantuan kepada lebih 100 artis yang sakit atau kehilangan keupayaan untuk bekerja,” katanya.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berharap majlis ini dapat menggalakkan sokongan kepada yang memerlukan. Beliau menekankan bahawa setiap sumbangan akan memberi manfaat kepada penggiat seni dan memperkuatkan hubungan dalam industri seni negara.

“Karyawan mempunyai senarai yang panjang bagi penggiat seni yang memerlukan perhatian. Seramai 15 anak seni telah disenaraikan sebagai penerima bantuan menerusi majlis di Sabah ini, cuma kami berharap lebih banyak dana dapat dikumpul agar lebih ramai dapat dibantu,” ujarnya.

Jualan meja, 10 orang semeja, telah dibuka dengan harga RM3,000 hingga RM50,000, sementara penajaan meja VIP pada harga RM100,000 merangkumi manfaat sebagai rakan penaja sepanjang promosi berkaitan penganjuran majlis. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Freddie di 012-2071400 atau Azman di 016-2338888/ 016-2302621.

Khadijah menambah, kejayaan penganjuran malam Legends sebelum ini yang mengumpul dana lebih RM100,000 telah mendorong Karyawan untuk merancang membawa majlis tersebut ke Johor Bahru pada masa akan datang.

Karyawan juga mengambil kesempatan untuk meraikan beberapa anak seni Sabah yang diundang sebagai tetamu pada malam berkenaan dalam usaha memperkukuhkan hubungan serta menunjukkan kepedulian persatuan.

Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi kedua jelajah malam Legends untuk menyokong kegiatan pelancongan di Sabah dan memenuhi permintaan peminat, termasuk dari Brunei.

Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran dif-dif kerhormat seperti, Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tetamu Kehormat; Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Haji Sabin Samitah.

Komen
Loading...