Ikuti Kami:

Mahasiswa UPSI Ng Zhen Fan Shankar Julang Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025

Mahasiswa UPSI Ng Zhen Fan Shankar Julang Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025

Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025 pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, malam tadi.

Pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada mahasiswa itu sekali gus mengangkat nama UPSI sebagai universiti yang melahirkan barisan pelajar berkaliber, berdaya saing dan berwibawa dalam kepimpinan serta pembangunan komuniti.

Anugerah berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mengiktiraf sumbangan mahasiswa melalui 13 kategori, dengan Tokoh Siswa Negara menjadi anugerah tertinggi.


Ng Zhen Fan Shankar (empat dari kiri), penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025, bergambar sambil memegang trofi dan replika cek selepas majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menegaskan bahawa ATSN adalah platform penting untuk merangsang bakat dan kepimpinan mahasiswa.

“Dengan adanya program seperti ini, kita memberi pengiktirafan kepada mereka dan saya yakin universiti, politeknik serta kolej komuniti akan terus menganjurkan program kepimpinan di kampus masing-masing.

“Di situlah daya kepimpinan dapat dibina sekali gus menyerlahkan potensi mahasiswa dan mahasiswi,” katanya.

Berasal dari Klang, Selangor, Shankar baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di UPSI dan kini bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Penglibatannya yang aktif dalam kepimpinan kampus menjadi bukti kemampuan beliau, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar UPSI selama dua sidang, Bendahari Kehormat serta Yang Dipertua Persatuan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Tidak hanya cemerlang dalam kampus, Shankar turut giat menyertai aktiviti kesukarelawanan dan pengucapan awam di peringkat antarabangsa.


Ng Zhen Fan Shankar (kanan) bersama Abbas Ali, kedua-duanya dari UPSI, bergambar sambil memegang replika cek anugerah dan trofi sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 di Hotel Marriott Putrajaya.

Kejayaan Shankar melakar sejarah manis buat UPSI apabila seorang lagi mahasiswa universiti sama, Abbas Ali Iftikhar Hussain, turut menerima Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa, sekali gus menegaskan reputasi UPSI sebagai universiti melahirkan mahasiswa berdaya saing di peringkat kebangsaan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Shankar dan Abbas Ali.

“UPSI sentiasa menyediakan ruang untuk mahasiswa menggilap potensi diri melalui kepimpinan, kokurikulum dan kesukarelawanan. Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2012, ATSN menjadi platform penting mengiktiraf mahasiswa dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, seni, sukan dan keusahawanan, sekali gus melahirkan generasi muda holistik dan berdaya saing.

Turut hadir menyaksikan malam pengiktirafan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.

Komen
Loading...