
Penyanyi tersohor Indonesia, Cakra Khan, mengakhiri siri konsert solonya di Malaysia dengan penuh emosi menerusi Divine Concert Cakra Khan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
Disaksikan ribuan peminat setia, Cakra tampil bertenaga dengan vokal luar biasa, menyampaikan lebih 28 buah lagu yang merangkumi seleksi baharu dan hits popular sejak kemunculannya dalam industri muzik lebih sedekad lalu.
Konsert dimulakan dengan lagu pembukaan Setelah Kau Tiada, Persinggahanmu, Mencari Cinta Sejati, Kau Memilih Dia, Salah Tapi Baik, Nanti, Rindu Tak Bersuara, Adalah Aku dan Tak Sejalan.
Persembahan turut diserikan dengan kemunculan barisan artis undangan ternama dari Malaysia dan Indonesia, antaranya Titi DJ, Marsha Milan, Ade Govinda, Faizal Lubis dan Trio XL.
Menjelang penghujung konsert, suasana bertukar hening apabila Cakra menyanyikan Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah, dengan para peminat menyanyi bersama dalam suasana penuh emosi dan haru.
Namun, sebelum menyanyikan lagu ikonik Harus Terpisah, Cakra secara terbuka mengumumkan bahawa konsert itu merupakan konsert solo terakhirnya di Malaysia, selepas tiga tahun berturut-turut menjayakan persembahan berskala besar di negara ini.
“Saya tidak tahu bila saya akan kembali buat konsert seperti ini. Tapi malam ini saya mahu berikan segalanya untuk anda semua,” katanya.
Cakra turut menyampaikan lagu Take The Pain, Cahaya, Kepada Hati, Terlanjur Cinta, Masing-Masing, Hal Hebat, Kamu Adalah, Mencintaimu, Bunyi Gitar serta medley rancak Treasure, Never Felt So Good dan September.
Sebagai tanda perpisahan, Cakra mendendangkan lagu ikonik Whitney Houston, I Will Always Love You dengan penuh perasaan.
Persembahan itu nyata meninggalkan kesan mendalam kepada peminat, yang sebak dan berdiri memberi penghormatan terakhir kepada bintang kesayangan mereka.