Ikuti Kami:

Magis Siti Nurhaliza x Lesti Dalam ‘Kumbang Bunga’

Magis Siti Nurhaliza x Lesti Dalam ‘Kumbang Bunga’

Dua bintang besar Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan penyanyi tersohor Indonesia, Lesti, akhirnya bersatu dalam satu karya istimewa berjudul Kumbang Bunga, yang menjanjikan keindahan harmoni dua suara dan dua budaya serumpun.

Single ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi pembuka tirai kepada album terbaharu Siti Nurhaliza yang berkonsepkan tradisional kontemporari, sekali gus membawa mesej persahabatan dan keharmonian antara Malaysia dan Indonesia.

Menggabungkan tiga elemen muzik utama inang, dangdut dan masri, Kumbang Bunga disusun dengan sentuhan moden yang masih mengekalkan roh tradisi, menjadikannya karya segar untuk semua lapisan usia.

Menurut Siti Nurhaliza, idea untuk berduet bersama Lesti sudah lama dirancang dan akhirnya direalisasikan pada waktu yang tepat melalui lagu ini.

“Saya sangat tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sejak pertama kali mendengarnya. Saya juga mencadangkan agar elemen dangdut dimasukkan kerana ia dekat dengan identiti muzik Lesti,” kata Siti.

Beliau menambah bahawa muzik adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira latar dan sempadan.

“Saya berharap Kumbang Bunga bukan sahaja diterima peminat di Malaysia dan Indonesia, tetapi juga dapat menembusi pasaran antarabangsa sebagai lambang keindahan seni Nusantara,” jelasnya.

Sementara itu, Lesti menyifatkan peluang berduet dengan Siti Nurhaliza sebagai impian yang menjadi kenyataan.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza kerana mempercayai saya untuk berkongsi pentas dalam karya seindah ini. Ia bukan sekadar lagu, tetapi simbol kasih dan persaudaraan dua negara,” katanya.

Menurut komposer Firdaus Rahmat, proses menghasilkan lagu ini hanya mengambil masa dua hari kerana beliau sudah membayangkan padanan vokal dua penyanyi itu sejak awal.

“Saya mahu menonjolkan keindahan vokal Siti dan Lesti dalam suasana tradisional yang segar, lembut tetapi bertenaga,” ujarnya.

Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd., dan boleh didapati di semua platform digital mulai 22 Oktober 2025.

Komen
Loading...