Ikuti Kami:

MADAM Lancar Album Sulung , Tampil Lapan Karya Asli

MADAM Lancar Album Sulung , Tampil Lapan Karya Asli

Band rock dinamik tempatan, MADAM, melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan album sulung mereka berjudul “MADAM : The Album” dalam satu majlis pelancaran penuh bertenaga di Spacerubix, di sini, hari ini.

Album yang memuatkan lapan buah lagu asli itu merupakan manifestasi kematangan band yang dianggotai oleh pemuzik berpengalaman ini selepas hampir setahun bertungkus-lumus di bilik rakaman.

Menurut vokalisnya, Putera Muhammad, album ini bukan sekadar koleksi lagu, malah ia adalah bukti evolusi seni mereka sejak mula bertapak dalam industri muzik pada tahun 2019.

“Album ini lahir daripada semangat (passion) setiap ahli kumpulan. Ia adalah satu perjalanan yang mustahil tanpa sokongan semua pihak. Kami berharap naskhah ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan MADAM dalam industri muzik tanah air,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.

Menariknya, album ini menyaksikan MADAM mengambil pendekatan (DIY) dengan menguruskan keseluruhan proses produksi secara independen, bermula daripada penulisan lirik, gubahan muzik, sehinggalah ke peringkat penerbitan.

Walaupun sinonim dengan imej rock, MADAM yang merupakan singkatan kepada “Men of Another Day Another Music” tidak mengehadkan kreativiti mereka. Antara elemen yang digabungkan termasuklah Modern Rock, Alternative Rock, Pop Rock & Soft Rock

Lagu berjudul “Antara Garisan” dipilih sebagai single fokus yang membawa naratif tentang kekecewaan dalam perhubungan. Melalui lirik puitis dan susunan muzik yang mantap, lagu ini menggambarkan keberanian seseorang dalam mencari kebenaran di sebalik ilusi janji manis.

Pelancaran album ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada pelbagai pihak strategikSony Music Malaysia: Bertindak sebagai pengedar rasmi, Kementerian Komunikasi & MyCreative Ventures: Memberi sokongan di bawah program Dana Kandungan Kreatif.

Dengan pelancaran album sulung ini, MADAM optimis untuk terus memperkenalkan identiti bunyi mereka yang tersendiri kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus menyemarakkan lagi kancah muzik rock tempatan yang kian berkembang pesat.