
Selepas 22 tahun membawa haluan masing-masing, duo pop sensasi dari Norway, M2M, akhirnya kembali bersatu dan membuktikan keajaiban mereka masih berbisa apabila menggamatkan Arena of Stars, Resorts World Genting malam Ahad.
Persembahan mereka bermula tepat jam 6.10 petang dengan sambutan sorakan ribuan peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan kemunculan semula duo kesayangan era 2000-an ini.
The Better Endings Tour menjadi saksi kepada kebangkitan semula M2M — bukan sekadar untuk mengenang nostalgia, tetapi juga membina babak baharu dalam perjalanan muzik mereka.
Dalam satu detik penuh emosi di pentas, Marit Larsen dan Marion Raven berkongsi kisah bagaimana mereka kembali bersama selepas lebih dua dekad.
“Ia adalah satu kebetulan yang indah, Kami bertemu secara tidak sengaja di sebuah kafe, berbual panjang, dan menyedari ikatan muzik dan persahabatan kami masih kuat seperti dahulu.” kata Marit.
“Tiada perancangan pun. Ia berlaku begitu sahaja — seperti takdir. Dari situ, semuanya terasa sangat semula jadi untuk kembali ke studio dan mencipta muzik bersama.” tambah Marion.
M2M membawakan 18 lagu hits mereka yang sudah menjadi sebahagian daripada memori ramai, antaranya The Day You Went Away, Everything You Do, Pretty Boy, Mirror Mirror, dan Everything (reprise).
“Dulu, lagu Pretty Boy sering dikaitkan dengan lelaki. Kini, saya dedikasikan lagu ini untuk anak lelaki saya yang baru berusia setahun,” kata Marion.
Mereka kemudian menutup malam dengan encore istimewa menerusi Don’t Mess With My Love dan Don’t Say You Love Me, yang disambut nyanyian beramai-ramai oleh penonton.
Pentas dipenuhi emosi apabila peminat menyanyikan setiap bait lagu bersama M2M, seolah-olah menghidupkan kembali zaman kegemilangan pop awal 2000-an. Persembahan penuh bertenaga itu berakhir tepat jam 7.40 malam.