Ikuti Kami:

M. Nasir Bawa Melly Goeslaw di Konsert ‘Cipta 4’ Julai Ini

M. Nasir Bawa Melly Goeslaw di Konsert ‘Cipta 4’ Julai Ini

Selepas mencetuskan fenomena menerusi siri trilogi terdahulu, maestro muzik tersohor, Dato’ M. Nasir, bakal melengkapkan siri penjenamaan konsertnya menerusi Dato’ M.N47ir Cipta 4 yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 4 Julai depan.

Lebih menarik, konsert kali ini bakal menyaksikan kolaborasi luar biasa apabila bintang legenda Indonesia, Melly Goeslaw, disahkan bakal tampil sebagai penyanyi jemputan bagi memeriahkan malam penuh sejarah tersebut.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media unik yang diadakan di atas gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sedang bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh, semalam.

Menurut penganjur daripada Icon Entertainment, Iman Tang, pemilihan Melly Goeslaw adalah bagi memberi dimensi baharu serta menghargai ratusan karya ciptaan M. Nasir yang turut diakui kehebatannya oleh rakan seni dari negara seberang.

“Cipta 4 adalah kesinambungan kepada perjalanan seni M. Nasir. Kehadiran Melly bukan sekadar pelengkap, tetapi simbolik kepada pengaruh besar karya beliau melangkaui sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, M. Nasir menyifatkan Cipta 4 sebagai medan untuk beliau terus meraikan peminat setia yang tidak putus-putus menyokong siri konsert Cipta 1 hingga Cipta Raya sebelum ini.

“Datang dan lengkapkan keraian trilogi Cipta ini. Kita akan mencipta sejarah untuk masa depan,” ujar beliau.

Sama seperti siri sebelumnya, peminat yang hadir diwajibkan mengikut tema berpakaian konsep batik bagi mengekalkan identiti budaya yang dibawa dalam jenama konsert ini.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan epik ini, tiket dijual pada julat harga antara RM238 sehingga RM588.

Kesemua tiket adalah mengikut kategori tempat duduk yang dinamakan sempena lagu-lagu ikonik beliau, bermula dengan kategori Mentera Semerah Padi (RM238), diikuti Sekuntum Bunga Di Gurun Sahara (RM338), Andainya Aku Pergi Dulu (RM458), Mahligai Syahdu (RM488), Sentuhan Kecundang (RM528), dan kategori tertinggi, Cinta Kristal (RM588).

Tiket-tiket akan mula dilancarkan pada 24 April 2026 (Jumaat) bermula jam 11 pagi dan boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.com.my.