‘Lutut Haus’ – Nubhan Usaha Yakinkan Mak Jenny Lakukan Pembedahan
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Penyanyi Nubhan kini berdepan cabaran besar untuk meyakinkan ibunya, Badariah Omar (Mak Jenny), menjalani pembedahan lutut yang disarankan oleh doktor.
Lutut Mak Jenny kini berada di tahap 4, dengan tulang rawan hampir haus sepenuhnya, menyebabkan doktor mencadangkan pembedahan penggantian lutut sebagai satu-satunya cara untuk membantu ibunya berjalan dengan lebih baik.
Namun, walaupun mendapat nasihat doktor, Mak Jenny masih enggan menjalani pembedahan. Nubhan berkata, ibunya lebih percaya kepada pendapat kawan-kawan berbanding pakar perubatan.
“Doktor sahkan lutut mak dah tahap 4, tulang rawan hampir haus sepenuhnya. Pembedahan penggantian lutut adalah satu-satunya jalan untuk bantu mak berjalan dengan lebih baik. Tapi mak masih enggan. Dia lebih percaya cakap kawan-kawan berbanding doktor,” luah Nubhan.
Tambah Nubhan atau nama sebenar Ahmad Nubhan Haji Ahamad, 40, Mak Jenny kini bimbang dengan risiko pembedahan yang mungkin akan menjejaskan keupayaan untuk bergerak.
“Mak kata, kalau potong lutut, takut nanti tak boleh berjalan langsung. Itu yang dia tak nak,” tambahnya.
Bergelut dengan dilema ini, Nubhan dan adik-beradik yang lain berusaha meyakinkan ibu mereka tentang kepentingan menjalani pembedahan secepat mungkin.
“Kami adik-beradik cuba yakinkan dia. Doktor kata lebih baik buat sekarang selagi mak masih boleh berjalan. Kalau tunggu sampai tak boleh jalan, rawatan akan jadi lebih rumit,” katanya.
Selain masalah lutut, Mak Jenny turut menghadapi kesulitan paru-paru akibat bronchitis, yang turut mempengaruhi tahap kesihatannya.
Dengan fungsi paru-paru hanya sekitar 30%, keluarga Nubhan berusaha keras menjaga kesihatan ibunya, termasuk memastikan persekitaran rumah bebas dari habuk dan bahan yang boleh mencetuskan masalah pernafasan.
“Mak sekarang banyak bergantung kepada ubat dan inhaler. Alhamdulillah, fungsi paru-paru dia dah meningkat ke 50%, tapi kami masih risau. Dia pun makin cepat penat bila berjalan atau buat kerja,” ujar Nubhan.
Mak Jenny menjadi terkenal selepas Nubhan, mula berkongsi video-video lucu bersama ibunya yang kemudiannya menjadi viral di kalangan netizen.