Ikuti Kami:

Luqman Podolski Tampil Dengan EP Terbaru, ‘Kau Apa Sebenarnya?’

Luqman Podolski Tampil Dengan EP Terbaru, ‘Kau Apa Sebenarnya?’

Penyanyi dan personaliti media sosial, Luqman Podolski akhirnya melangkah lebih jauh dalam dunia muzik dengan pelancaran EP terbarunya, ‘Kau Apa Sebenarnya?’ sejak 24 Januari lalu.

Setelah bertahun-tahun mengumpul idea dan bereksperimen dengan pelbagai konsep, Luqman kini tampil lebih matang dalam perjalanan seninya.

Menjadikan EP ini sebagai penanda aras dalam karier muziknya, Luqman, 27, banyak meneroka aspek baharu dalam penghasilan karya agar dapat memuaskan peminat yang telah lama menantikan muzik terbaharunya.

“Saya sudah lama mengumpulkan material lagu sejak awal kemunculan dahulu. Ada yang sudah dilancarkan, ada juga yang saya simpan untuk masa yang lebih sesuai. Setelah perbincangan dengan Warner Music Malaysia, akhirnya terhasillah EP ‘Kau Apa Sebenarnya?’ dengan seleksi lagu yang saya rasa paling tepat untuk peminat,” jelasnya.

Menampilkan lima buah lagu, EP ini mengetengahkan ‘Tiba-Tiba’ sebagai single utama. Selain itu, antara lagu yang turut dimuatkan ialah ‘Tak Sedar Diri’, ‘Salahkah Aku?’, ‘Rahsia’, dan ‘M*’**.

Namun, satu kolaborasi yang paling menarik perhatian ialah lagu ‘Aku Dah Tak Percaya’, hasil gabungan sulungnya bersama Zynakal. Menurut Luqman, lagu ini melalui proses pencarian panjang sebelum akhirnya dipersetujui oleh Zynakal.

“Saya pernah memberikan demo lagu ini kepada beberapa rakan penyanyi lain, tetapi tiada maklum balas. Mungkin mereka rasa lagu ini tidak sesuai untuk mereka. Tetapi akhirnya, Zynakal bersetuju, dan saya rasa kolaborasi ini menjadi sesuatu yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Antara lagu yang paling dinantikan peminat dalam EP ini ialah ‘M*’**, yang sebenarnya sudah wujud sejak tahun 2016. Pada asalnya, lagu ini hanya berdurasi satu minit dan dicipta sebagai kandungan media sosial.

Namun, atas permintaan ramai, Luqman akhirnya merealisasikan impian peminat dengan menghasilkan versi penuh lagu tersebut.

“Ramai yang bertanya bila saya akan siapkan lagu ini dalam versi penuh. Jadi, saya anggap ini hadiah buat mereka yang sudah lama menyokong perjalanan seni saya. Harapnya mereka akan menikmatinya,” tambahnya.

Sempena pelancaran EP ini, Luqman turut mengadakan majlis mendengar khas bersama lebih 100 peminat terpilih, di mana mereka berpeluang mendengar secara eksklusif beberapa lagu dalam EP ini serta menyertai pelbagai aktiviti bersama penyanyi tersebut.

Dengan pelancaran ‘Kau Apa Sebenarnya?’, Luqman Podolski membuktikan kesungguhannya dalam industri muzik, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang penyanyi yang serius dengan kerjayanya.

Komen
Loading...