Luncai Emas Pertaruh ‘Meriah Hari Raya’, Gabung Lima Karakter Vokal
- oleh MDaily Editor
- 21 Feb 2026 3:39 pm
Menjelang sambutan Aidilfitri 2026, syarikat rakaman tersohor Luncai Emas Sdn Bhd tampil dengan taruhan terbaharu menerusi lagu raya berjudul “Meriah Hari Raya”.
Menariknya, naskhah ini menyaksikan gabungan mantap lima penyanyi muda berbakat besar iaitu Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Ikmal Dani, Nana Tony, dan Kasih Lia, yang masing-masing membawa karakter vokal unik bagi menyuntik energi positif serta kemeriahan sambutan lebaran tahun ini.
Diterbitkan bersama Myoozikwav Entertainment, lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik muda, Dearlynns.
Sebagai bakat baharu di bawah naungan Luncai Emas, Dearlynns berjaya mengetengahkan nafas segar dalam genre lagu raya tanpa mengetepikan elemen tradisi yang sinonim dengan jiwa masyarakat Malaysia.
Menurut Dearlynns, penghasilan “Meriah Hari Raya” bertujuan membawa senyuman dan kehangatan kepada pendengar menerusi melodi yang upbeat dan lirik yang santai.
“Saya mahu karya ini menjadi pengiring kegembiraan buat semua, sekali gus mengangkat tema kemaafan dan kebersamaan yang sentiasa dinantikan setiap kali syawal menjelma,” katanya.
Bagi penyanyi Azzam Sham yang popular dengan lagu “Cinta Jangan Pergi”, penglibatannya dalam projek ini dianggap satu penghargaan. Beliau berharap lagu ini terus diterima ramai dan memeriahkan suasana persiapan raya sehingga ke hari rumah terbuka.
Sentimen sama turut dikongsi oleh rakan seperjuangan, Ikmal Dani dan Sheryl Shazwanie yang menyasarkan lagu ini menjadi pilihan utama di platform media sosial serta menjadi trending sepanjang musim perayaan.
Sementara itu, bagi Nana Tony dan Kasih Lia, kolaborasi bersama barisan artis berpengalaman ini merupakan satu pencapaian berharga yang diharap dapat menggamit kenangan manis buat semua lapisan masyarakat.
Selain kekuatan vokal, “Meriah Hari Raya” turut menampilkan video muzik (MV) yang dirakamkan di Terengganu.
Menambah keunikan, MV tersebut menampilkan penampilan khas Mubarak, warga asing asal Nigeria yang tular kerana kefasihannya bertutur dalam dialek Terengganu.
Kehadiran elemen tular dan latar belakang budaya tempatan dalam MV tersebut dijangka mampu menarik perhatian netizen di platform TikTok dan YouTube.
Audio rasmi dan video muzik “Meriah Hari Raya” kini sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital serta saluran YouTube Luncai Emas bermula 20 Februari ini.




