Lot 17 Lancar Mencari Sinar, Single Baharu Sarat Jiwa 90-An
- oleh Mohd Indera
- 19 Sep 2025 6:41 pm

Kumpulan muzik Lot 17 yang terdiri daripada kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melancarkan single terbaharu berjudul Mencari Sinar, sebuah karya yang membawa muzik era 90-an dengan sentuhan moden.
Single itu merupakan hasil ciptaan Rosbai (lirik), gubahan Jatt Aziz dan susunan muzik oleh penerbit terkenal, Zul 2by2.
Kumpulan Lot 17 yang ditubuhkan pada 2010 dianggotai tujuh pemuzik berbakat iaitu Tuan E-zat (vokalis), Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (basis), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard) dan Armadd (violin).
Sebagai kombo rasmi MBKT, mereka sering membuat persembahan di acara rasmi kerajaan negeri, termasuk majlis santapan Diraja, selain pernah mengiringi penyanyi terkenal Datuk Awie di Mekar Fest 2025.
Vokalis Lot 17, Tuan E-zat yang pernah muncul juara pertandingan Pujaan Muzik Nescafe 2012, menyifatkan pelancaran single ini sebagai satu rezeki tidak disangka selepas lebih sedekad bersama kumpulan itu.
“Kami sangat bersyukur kerana akhirnya dapat melancarkan single sendiri selepas lebih 10 tahun bersama Lot 17. Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi pengalaman di pentas-pentas rasmi sebelum ini telah banyak mematangkan kami.”
“Pertemuan dengan Abang Zul benar-benar memberi semangat baharu untuk terus berkarya dengan lebih profesional. Beliau melihat potensi kami, memberi tunjuk ajar serta menghasilkan susunan muzik yang menepati identiti Lot 17.”
“Pelancaran Mencari Sinar ini adalah titik permulaan kepada langkah yang lebih besar. Kami berharap karya ini dapat diterima pendengar dan menjadi batu loncatan untuk membawa nama Lot 17 ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada majlis pelancaran di Casa Leal, Bukit Jelutong.
Menurut penerbit, Zulkefli Majid atau lebih dikenali sebagai Zul 2by2, keistimewaan utama Mencari Sinar terserlah melalui vokal Tuan E-zat yang dianggap sebagai nadi penggerak keseluruhan karya.
Beliau menyifatkan gaya nyanyian E-zat mampu membawa pendengar kembali ke era kegemilangan muzik balada rock 90-an, satu zaman yang sangat dekat di hati ramai pencinta muzik tanah air.
“Bila saya pertama kali mendengar suara E-zat, terus terlintas dalam fikiran saya tentang keindahan muzik 90-an yang penuh emosi, jujur dan meresap ke jiwa. Aura itu masih segar dan tidak lapuk dimakan zaman.”
“Sebab itu saya cuba menghasilkan susunan muzik yang mudah diterima oleh pendengar hari ini, tetapi pada masa sama tetap mengekalkan roh klasik yang memberi rasa nostalgik.” katanya.
Sementara itu, Pengarah PZR Resources, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie menegaskan pihaknya mahu melihat bakat baharu seperti Lot 17 diberi peluang untuk menyerlah di pentas yang lebih besar.
Beliau menambah, pelancaran Mencari Sinar bukan sekadar usaha memperkenalkan karya baharu, tetapi diharap menjadi batu loncatan untuk Lot 17 menapak lebih jauh dalam industri muzik tanah air.
“Harapan saya, Mencari Sinar dapat diterima dengan baik oleh pendengar kerana lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri. Jika diberi peluang dan sokongan, saya yakin ia mampu membuka laluan yang lebih luas untuk Lot 17 dikenali, bukan hanya di peringkat tempatan tetapi juga di pentas serantau.”
“Mereka mempunyai pakej yang lengkap, vokal yang bertenaga, susunan muzik yang kemas serta karisma ketika beraksi di pentas. Itu semua adalah ciri-ciri penting untuk sebuah kumpulan muzik kekal relevan dan diterima ramai,” katanya.
Datin Sharifah Salwa yang juga pengasas jenama Casalwa turut menyatakan sokongan terhadap kumpulan itu bukan sahaja dari aspek muzik, malah merangkumi imej dan penampilan.
“Casalwa berbesar hati menaja pakaian untuk Lot 17 dan komposer sebagai tanda penghargaan. Usaha ini diharap dapat membantu mereka tampil lebih yakin, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran Lot 17 dalam arena muzik tempatan,” ujarnya.
Selain pelancaran Mencari Sinar, majlis turut diserikan dengan pertunjukan koleksi terbaharu jenama Casalwa yang berlangsung meriah, disaksikan oleh tetamu kenamaan, rakan media serta penggiat seni tempatan yang hadir menyokong langkah baharu Lot 17 dalam industri muzik tanah air.