Lonjakan Kerjaya Aviation: Kolaborasi ACM-MEATECH-IUC Tawar Ijazah ‘Fast Track’ 3.5 Tahun
- oleh MDaily Editor
- 14 Dec 2025 8:53 pm
Sektor pendidik tinggi negara mencatat sejarah baharu hari ini apabila gabungan strategik antara Aviation Career Malaysia (ACM), Kolej Antarabangsa MEATECH, dan Kolej Universiti Inovatif (IUC) dilancarkan bagi memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan (Kepujian) Fast Track.
Inisiatif ini membolehkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam tempoh seawal tiga tahun setengah, berbanding tempoh lima tahun ke atas bagi laluan konvensional.
Pelancaran program ini diadakan bersempena Majlis Konvokesyen IUC di PICC Putrajaya.
Kerjasama ini lahir daripada kejayaan luar biasa graduan terdahulu di mana 99 peratus graduan ACM–MEATECH telah berjaya menempatkan diri dalam pelbagai syarikat penerbangan dan bidang kritikal dalam industri aviation, termasuk pengendalian darat, perkhidmatan pesawat, operasi kabin, dan pengurusan terminal lapangan terbang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACM, Encik Azizul Hakim, berkata program ‘Fast Track Degree’ ini diwujudkan bagi memenuhi permintaan industri penerbangan yang memerlukan tenaga kerja profesional berkelayakan Ijazah dengan pantas.

“Kami mewujudkan satu ekosistem lengkap. Kami sediakan pembelajaran, dan kami juga sediakan peluang pekerjaan kepada graduan. Kejayaan ini dibuktikan dengan kadar kebolehpasaran 99 peratus graduan kami yang belajar dan bekerja dalam bidang aviation,”
“Ini yang kami mahu bawa ke tengah, bagi meyakinkan ibu bapa supaya tidak salah memilih bidang. Kami menyediakan ekosistem lengkap: tempat belajar kami sediakan, dan kerja pun kami sediakan kepada pelajar.
“Jaminan kerja itu ada, dengan kebolehpasaran lebih 90 peratus daripada kolej ini,” katanya.
Menjelaskan mekanisme program baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej MEATECH, Encik Shahril Azwan, menyatakan kolaborasi bersama IUC membolehkan pemadanan kurikulum dilaksanakan secara optimum.
“Kami dari MEATECH bermula dengan Diploma dan bekerjasama dengan IUC, yang mengeluarkan ijazah. Kami menyusun program ini di mana IUC melakukan pemetaan dan penyatuan subjek dengan Diploma kami,”

“Ini membolehkan banyak pengecualian kredit dibuat, menjadikan proses pendidikan daripada SPM hingga Ijazah dipendekkan kepada tiga tahun setengah, daripada yang sepatutnya lima tahun setengah.
“Kami ingin memendekkan proses pendidikan supaya pelajar dapat memasuki industri dengan cepat,” katanya, sambil menegaskan bahawa program ini mengikut lunas dan mendapat kelulusan MQA.
Sementara itu, Pengarah MEATECH, Puan Che Rozaina binti Azizan menekankan bahawa kerjasama tersebut adalah peluang strategik Meatech untuk menawarkan Ijazah Sarjana Muda, memandangkan status kolejnya.
“Kami bekerjasama dengan IUC untuk program fast track ini. Walaupun sijil Ijazah Sarjana Muda dikeluarkan oleh IUC, program ini dijalankan oleh kami di MEATECH International College,” kata Puan Che Rozaina.

Beliau turut menggariskan peluang kerjaya yang luas bagi graduan Pengurusan Penerbangan ini.
“Lulusan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan boleh memasuki pelbagai bahagian pentadbiran dan pengurusan, merangkumi Bahagian Sumber Manusia (HR), Dasar Penerbangan (Aviation Policy), Pengurusan Keselamatan (Safety Management), dan Operasi Penerbangan (In-Flight Operation),” jelasnya.
Puan Che Rozaina menambah, ini termasuk jawatan peringkat eksekutif dalam bahagian operasi yang memerlukan kerja syif, pentadbiran Customer Service Division, dan juga pentadbiran yang menguruskan perkhidmatan dalam penerbangan (In-Flight Services) seperti pengurusan katering dan hiburan.
Yayasan Pendidikan Kasih Malaysia (YPKM) turut mengumumkan peruntukan bantuan derma siswa separa khusus untuk 500 pelajar baharu ACM-MEATECH-IUC bagi sesi kemasukan 2026.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar B40 dan M40 untuk menceburi pendidikan penerbangan berkualiti tinggi.
Pihak ACM-MEATECH-IUC menyasarkan untuk mengambil seramai 700 pelajar baharu bagi sesi kemasukan pertama pada April depan, meliputi program diploma dan Ijazah Fast Track.




