Ikuti Kami:

Lomo Pictures Bawa Festival Filem Asia Pasifik Kembali ke Malaysia

Lomo Pictures Bawa Festival Filem Asia Pasifik Kembali ke Malaysia

Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila syarikat produksi tempatan, Lomo Pictures Sdn Bhd, diberi kepercayaan menganjurkan Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-62 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 November hingga 6 Disember 2025.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah dimuktamadkan dalam satu mesyuarat pelaksanaan bersama ketua dan delegasi Festival Filem Asia Pasifik yang berlangsung di Hong Kong pada 9 Julai lalu.

Pengarah Urusan Lomo Pictures, Aron Koh, menyifatkan peluang untuk menganjurkan festival filem paling lama dan berprestij di rantau ini sebagai satu penghormatan besar kepada negara dan industri perfileman tempatan.

“Dalam pertemuan bersama barisan delegasi Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA), kami sekali lagi diberi mandat untuk menjadi tuan rumah festival ini.

Ia satu penghormatan buat kami dan satu pencapaian untuk industri filem negara,” ujar Aron yang turut bertindak sebagai Pengerusi Penganjur APFF ke-62.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri barisan delegasi antarabangsa termasuk Mr. Pansha (Setiausaha Agung FPA), TJ Chung (Korea), Rain Yamson (Filipina), Chandra K Jha (India), Subarna Thapa (Nepal) dan Mr. Allan Cheung (Hong Kong, China).

Menurut Aron, edisi kali ini bakal menyaksikan pelbagai pengisian menarik termasuk tayangan khas filem-filem dari negara peserta di lokasi terpilih di Malaysia serta negara lain yang mengambil bahagian.

“Festival ini bukan sekadar malam anugerah semata-mata, tetapi platform untuk memperkenalkan sinema Asia Pasifik kepada penonton yang lebih luas. Tayangan filem akan berlangsung dari 29 November hingga 6 Disember di beberapa negara terlibat, termasuk Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kemenangan seorang artis tempatan di sebuah festival di Macau baru-baru ini yang didakwa berkait dengan APFF, Aron menafikan sebarang kaitan dan menyifatkannya sebagai tidak sah.

“Selain Lomo Pictures yang diberi mandat rasmi oleh FPA, tiada syarikat atau negara lain yang diberi tanggungjawab menganjurkan festival ini. Jika ada anugerah kononnya daripada APFF di luar pengetahuan kami, ia berkemungkinan besar adalah scam,” tegasnya.

Lomo Pictures dijangka mengumumkan butiran lanjut termasuk senarai filem, barisan juri serta lokasi tayangan dalam satu sidang media khas dalam masa terdekat.

Festival Filem Asia Pasifik, yang kini memasuki edisi ke-62, terus menjadi pentas penting bagi mengiktiraf pencapaian sinema dari rantau Asia dan Pasifik sejak ia dimulakan lebih enam dekad lalu.

Komen
Loading...