Ikuti Kami:

Lokarya Bangkit Semula Dengan Single ‘Deruan’

Lokarya Bangkit Semula Dengan Single ‘Deruan’

Selepas dua tahun menyepi untuk memperkukuh identiti serta asas artistik, band indie Malaysia, Lokarya, kembali menghangatkan persada muzik arus perdana dengan pelancaran semula single mereka berjudul Deruan.

Lagu yang dirakam hampir tiga tahun lalu itu kini diberi nafas baharu, seiring kematangan muzik dan hala tuju kumpulan tersebut.

Dianggotai lima pemuzik iaitu Shaheth Nair (vokal/gitar), Khairi Hamidi (gitar), Rafael Ahmad (bass), Taka (keyboard) dan Amirul Zailan (dram), Lokarya membawa gabungan city pop moden, soul serta elemen alternatif yang menjadi identiti unik mereka.

Nama Lokarya sendiri diambil daripada perkataan “lokakarya”, yang merujuk sesi perbincangan dan kolaborasi, melambangkan proses kreatif mereka yang terbina daripada dialog dan eksperimen bersama.

Menurut Shaheth, setiap karya lahir daripada perbualan tentang kehidupan, hubungan dan pengalaman yang dilalui.

“Nama Lokarya mengingatkan kami bahawa muzik ini bukan kerja seorang, tetapi perjalanan kolektif,”

“Dulu, kami belum bersedia. Sekarang, dengan identiti lebih kukuh, Deruan benar-benar mencerminkan DNA Lokarya.” katanya.

Momentum kemunculan semula mereka turut diperkukuh selepas menerima sambutan hangat menerusi persembahan di RIUH x ASEAN baru-baru ini.

Taka menyifatkan pujian yang diterima sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih kerap dan lebih berani di pentas arus perdana.

Lokarya kini dalam fasa akhir pembikinan album penuh pertama mereka yang merangkumi perjalanan enam tahun sejak penubuhan pada 2019.

Album tersebut turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh.

“Kami membesar dengan karya beliau. Bila Noh bersetuju menyumbang sebuah lagu, ia pengesahan bahawa kami berada di laluan yang betul,” kata Amirul.

Dengan pendekatan muzik yang tidak mengejar trend semasa, Lokarya berharap karya-karya mereka mampu bertahan dan menjadi sebahagian daripada memori pendengar.

“Jika suatu hari nanti lagu kami menjadi latar kepada kenangan seseorang, itu sudah memadai,” kata Shaheth.

Pelancaran semula Deruan menandakan permulaan baharu buat Lokarya, yang kini bersedia memperkenalkan dunia muzik, visual dan naratif yang mereka bina sejak bertahun-tahun.

Komen
Loading...