Logo ‘E’ di Bukit Bintang cetus teka-teki, Evanescence kembali ke Malaysia selepas 14 tahun?
- oleh MDaily Editor
- 24 Apr 2026 11:44 pm
Teka-teki mengenai kehadiran band rock ikonik Amerika Syarikat (AS), Evanescence ke Malaysia kini menjadi bualan hangat selepas kelibat papan iklan misteri muncul di ibu kota, baru-baru ini.
Papan iklan yang memaparkan huruf ‘E’ dengan tipografi unik yang sinonim dengan logo kumpulan itu dikesan di sekitar Jalan Bukit Bintang, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa mereka bakal mengadakan konsert di sini selepas 14 tahun.
Kali terakhir band yang memenangi Anugerah Grammy itu menjejakkan kaki di Malaysia adalah pada tahun 2012 menerusi konsert di KL Live yang dihadiri lebih 3,000 peminat fanatik.
Di platform media sosial, rata-rata peminat meluahkan rasa tidak sabar dan mula membuat persiapan mental (serta kewangan) untuk menyaksikan persembahan Amy Lee dan rakan-rakan.
”Tahun 2012 dah pernah tengok Evanescence di KL Live. Kalau confirm jadi (datang), kita pergi lagi. Ayuh!” tulis seorang pengguna di platform Threads.
Seorang lagi netizen turut berseloroh mengenai lambakan konsert artis antarabangsa tahun ini yang dianggap mencabar bajet bulanan mereka.
”Wow, meriahlah tahun ini dengan konsert. Simple Plan pun datang ni. Memang koyak poket!”
Meskipun keterujaan kian memuncak, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana penganjur tempatan berhubung butiran konsert atau tarikh jualan tiket.
Evanescence yang kini dianggotai oleh Amy Lee, Tim McCord, Will Hunt, Troy McLawhorn dan Emma Anzai sedang sibuk melunaskan siri Evanescence World Tour yang diumumkan pada hujung tahun lalu.
Kumpulan yang berasal dari Arkansas, AS ini mula meledak di seluruh dunia pada 2003 menerusi album debut, Fallen.
Album tersebut melahirkan lagu-lagu berhantu yang menjadi antem zaman remaja bagi kebanyakan peminat tempatan seperti Bring Me To Life, Going Under dan My Immortal.
