
Arena hiburan tempatan bakal dimeriahkan dengan kehadiran bintang hip hop Korea Selatan, Loco, yang akan menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah terbaharunya, 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR pada 2 November (Ahad), jam 7 malam.
Konsert anjuran Starry Live Entertainment dan The WonderLand+ ini adalah sebahagian daripada siri jelajah Asia Loco yang turut menjengah Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.
Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi istimewa bagi meraikan album studio ketiga beliau, Scraps, yang menampilkan 12 lagu baharu dengan kolaborasi antarabangsa bersama Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri.
Loco, yang mula melonjak selepas menjuarai program realiti rap Show Me the Money pada 2012, kini dikenali sebagai antara ikon utama K-rap dengan barisan hits seperti No More, You Too dan Don’t Give It to Me.
Beliau juga pernah berkolaborasi dengan artis besar seperti Hwasa, Crush dan Gray, menjadikan namanya sinonim dengan hip hop Korea moden.
Setiap persembahan Loco digambarkan sebagai penuh bertenaga, intim dan sarat interaksi bersama peminat. Keunikan beliau bukan hanya pada vokal dan rap, malah karisma di pentas yang berjaya mencipta suasana mesra serta mengikat emosi penonton.
Tiket konsert mula dijual pada 5 September, jam 11 pagi menerusi my.bookmyshow.com dengan harga bermula daripada RM348 hingga RM5,500 (tidak termasuk fi tiket).
Pakej tiket disertakan dengan pelbagai faedah peminat (fan benefits) seperti sesi raptai (soundcheck), foto berkumpulan, sesi ucap selamat tinggal (goodbye session), kad cenderahati eksklusif serta peluang mendapatkan poster bertandatangan artis.
Untuk maklumat lanjut dan pengumuman terkini, peminat boleh mengikuti Instagram: @starryliveent dan Facebook: Starry Live Entertainment.