Lisa Ono Bawa Pesona ‘Love to Love’ ke Malaysia Julai depan
- oleh MDaily Editor
- 7 Apr 2026 6:37 pm
Irama bossa nova yang lembut dan romantik bakal mengisi ruang udara ibu kota apabila penyanyi ikonik antarabangsa, Lisa Ono, dijadualkan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 3 Julai depan.
Konsert bertemakan “Love to Love” itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, sekali gus menjanjikan sebuah malam yang penuh dengan nuansa muzik menenangkan buat peminat tempatan.
Dianjurkan oleh Pocket Music dengan kerjasama SOCIALMEX, penampilan sulung Lisa Ono di negara ini dianggap sebagai satu acara istimewa memandangkan beliau merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam mempopularkan genre bossa nova di peringkat global.
Menurut wakil penganjur, konsert ini dirancang khusus untuk memberi peluang kepada peminat merasai sendiri aura magis penyanyi kelahiran Brazil itu yang sebelum ini hanya didengari menerusi corong radio atau rakaman album.
“Kami amat teruja dapat membawa Lisa Ono ke Kuala Lumpur buat pertama kali. Konsert ‘Love to Love’ ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi satu pengalaman santai yang elegan untuk menghargai keindahan melodi klasik yang dibawakan terus oleh legenda bossa nova itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyanyi yang dilahirkan di São Paulo, Brazil itu bakal diiringi oleh ensembel bossa nova khas dari Jepun. Gabungan vokal lembut Ono yang sinonim dengan petikan gitar santai dijangka mampu memberikan pengalaman muzik yang elegan dan sukar dilupakan.
Sejak memulakan debut profesional pada tahun 1989, Ono telah menghasilkan puluhan album dan berjaya memperkenalkan muzik berunsur Latin ini kepada generasi pendengar di seluruh dunia, khususnya di Asia.

Harga tiket antara RM258 sehingga RM888 mengikut kategori tempat duduk, manakala bagi peminat yang mahukan privasi, pakej VIP BOX ditawarkan pada harga RM4,800 untuk kapasiti lapan orang.
Jualan tiket akan mula dibuka pada 10 April (Jumaat) ini, tepat jam 11 pagi menerusi laman web rasmi di www.cloudjoi.com.




