Ikuti Kami:

Lima Lagu, Satu Kisah: Kat Roshan Lancar Album ‘Rasa’

Lima Lagu, Satu Kisah: Kat Roshan Lancar Album ‘Rasa’

Penyanyi muda bersuara lunak, Kat Roshan, hari ini melancarkan album EP keduanya yang menyimpan makna mendalam, bukan sekadar koleksi lima lagu balada tetapi simbolik kepada penamat satu fasa penting dalam perjalanan seninya.

EP terbaharu yang turut diberi judul Rasa ini menghimpunkan karya balada yang sarat emosi dan penghayatan, semuanya hasil ciptaan komposer tersohor Indonesia, Chossy Pratama. Ia menjadi penanda penghujung kepada era balada Kat Roshan yang selama ini menjadi nadi utama identiti muziknya.

“EP ini bukan sahaja penghormatan saya kepada Pak Chossy, tetapi juga penutup kepada babak balada dalam kerjaya saya. Saya bersedia untuk bergerak ke arah muzik yang lebih segar dan bertenaga,” kata Kat.

Album ini memuatkan lagu Ada Apa Gerangan, Cinta Lama Belum Kelar, Ku Percaya, Cinta Putih dan versi baharu lagu debutnya Rasa yang pernah mencuri perhatian ramai pada 2019.

Kat turut berkongsi pengalaman manis dan getir ketika mula merakam Rasa, termasuk dimarahi kerana kurang latihan sehingga menangis di pangkuan ibunya.

“Kini, Pak Chossy bergurau kata saya pula yang beri arahan. Ia perjalanan penuh pelajaran dan kasih sayang,” katanya.

Rakaman EP ini dijalankan antara 2019 hingga 2024 setiap kali Chossy terbang dari Dili ke Kuala Lumpur. Kat juga akui berdepan cabaran dalam menyampaikan lirik dengan sebutan sempurna kerana latar belakangnya yang berdarah campuran Melayu dan Cina.

“Saya berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki sebutan bahasa Melayu dan Indonesia dan berharap pendengar dapat rasai kejujuran emosi yang saya salurkan,” ujarnya.

Kat memilih Rasa sebagai lagu utama promosi EP ini kerana ia begitu dekat di hati dan menjadi lambang titik mula dalam kariernya.

“Lagu ini mencerminkan siapa saya, seorang remaja yang memulakan langkah dengan penuh rasa takut, yakin dan harapan,” katanya.

Dengan pelancaran EP ini, Kat mengumumkan hasrat untuk bereksperimen dengan muzik yang lebih rancak dan bersifat kontemporari selepas ini sesuai dengan usianya yang kian matang.

“Saya mahu keluar dari zon selesa dan cipta lagu yang lebih menyeronokkan, segar dan mencabar kemampuan menulis lagu saya. Sudah tiba masanya mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.

Untuk rekod, Kat pernah melancarkan EP pertama My Demons pada 2021 yang memuatkan kisah peribadinya semasa pandemik.

Pada Mac lalu, Kat dan penyanyi Meer Nash turut membanggakan negara apabila terpilih mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa Sound of the South China Sea di Sanya, China menerusi lagu Wau Bulan yang ditonton lebih dua juta penonton.

Album EP Rasa boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini.

Komen
Loading...