Lima Inisiatif DSSN: Membina Negara Lebih Selamat dan Berintegriti
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Dalam era yang menyaksikan perubahan landskap keselamatan global secara drastik, daripada jenayah rentas sempadan hingga isu kesejahteraan rakyat paling rentan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Saifuddin Nasution (DSSN) tampil dengan pelbagai inisiatif strategik dan progresif, menjadikan keselamatan dan integriti negara sebagai keutamaan mutlak.
1. Teknologi AI untuk Kawalan Sempadan: Menyahut Era Digital
Memasuki fasa baharu dalam kawalan sempadan, KDN kini mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui sistem pengecaman wajah di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, bermula 1 Januari lalu.
“KDN dan seluruh agensinya akan embrace AI sebagai solusi dan hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap serta bebas isu integriti,” tegas DSSN. Langkah ini meletakkan Malaysia sebagai pelopor penggunaan teknologi pintar di peringkat ASEAN dalam pengurusan imigresen.
2. AISSE25: Solidariti Serantau Demi Keselamatan Bersama
Melalui penganjuran Asia Internal Security and Stability Conference (AISSE25), DSSN menekankan pentingnya kolaborasi serantau dalam mengekang ancaman moden. Delegasi dari seluruh Asia berkumpul untuk memperkukuh kesefahaman keselamatan serantau.
“Kita tidak boleh mengabaikan jenayah transnasional seperti pemerdagangan manusia, dadah, rompakan maritim dan jenayah siber,” ujar beliau, mengingatkan semua bahawa keamanan hanya mampu dicapai melalui kesepaduan antara negara-negara jiran.
3. Komitmen terhadap Sabah: Bukan Sekadar Retorik
DSSN membuktikan keprihatinannya terhadap negeri Sabah dengan memperuntukkan RM50 juta bagi pembinaan kuarters anggota KDN, di samping RM17 juta untuk menaik taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar.
Langkah ini dilihat sebagai bukti nyata bahawa pembangunan keselamatan adalah bersifat inklusif tanpa mengabaikan negeri-negeri di luar Semenanjung.
4. Baitul Mahabbah: Perlindungan Kemanusiaan untuk Kanak-Kanak Imigresen
Dalam usaha memperjuangkan hak asasi, DSSN memperkenalkan pusat khas Baitul Mahabbah bagi menempatkan kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditahan di depot imigresen. Inisiatif ini menjadikan Malaysia lebih berperikemanusiaan di mata dunia.
“Kita bertindak bukan hanya atas tekanan antarabangsa tetapi atas dasar rasa tanggungjawab terhadap kemanusiaan,” jelas beliau yang turut menyatakan bahawa isu seperti kesesakan depoh dan kematian dalam tahanan menjadi fokus dalam forum Bangsa-Bangsa Bersatu.
5. Pemerkasaan Institusi: Kebajikan dan Keselamatan Seiring
DSSN turut memberi fokus kepada pemerkasaan institusi keselamatan seperti PDRM, RELA dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui penambahbaikan prasarana dan kebajikan anggota, selaras dengan komitmen memperkukuh keselamatan domestik.
Dengan pendekatan menyeluruh dan berteraskan rakyat, DSSN bukan sahaja menerajui KDN dalam menangani cabaran keselamatan semasa tetapi juga meletakkan asas jangka panjang bagi negara yang lebih selamat, berintegriti dan berperikemanusiaan.
“KDN hari ini bukan sekadar menjaga sempadan tetapi menjaga maruah rakyat dan martabat negara,” ujar DSSN penuh tekad.