Ikuti Kami:

Liga M masih boleh ‘diselamatkan’

Liga M masih boleh ‘diselamatkan’

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) tetap menaruh kepercayaan saingan Liga Malaysia (Liga M) masih boleh ‘diselamatkan’ sekalipun larangan perhimpunan beramai-ramai kekal selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, B Sathianathan berkata ini kerana ketika ini, tiada tempoh masa yang ditetapkan mengenai larangan perhimpunan beramai-ramai itu selepas PKP berakhir sekali gus menyaksikan masih ada lagi masa untuk saingan domestik diteruskan seperti biasa selepas ini.

“Apa yang saya dengar, larangan itu tiada tempoh, contohnya larangan tidak boleh berhimpun selama tiga bulan, enam bulan ataupun setahun selepas PKP tamat.

“Kecuali kalau larangan perhimpunan itu sudah ditetapkan selama enam bulan atau setahun contohnya, bolehlah kita mula melakukan perancangan untuk masa depan khususnya membabitkan soal kontrak pemain dan sebagainya.

“Apapun, kita menghormati keputusan kerajaan mengenai perkara ini tetapi saya melihat belum masanya lagi untuk kita berfikir mengenai pembatalan liga. Sekurang-kurangnya, kita cuba habiskan baki perlawanan liga dahulu,” katanya.

Semalam, hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung saingan Liga Malaysia (Liga M) lebur selepas saingan itu perlu dibatalkan susulan ‘kad merah’ daripada kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuklah aksi bola sepak tetap tidak dibenarkan sekalipun tempoh PKP ditamatkan.

Sumber : Berita Harian

Komen
Loading...