Libang Libu Bukan Sekadar Komedi, Bobby Kekal Identiti ‘Sentuhan Perak’
- oleh MDaily Editor
- 9 Apr 2026 2:00 pm
Selepas lebih dua dekad mengukir nama sebagai pengarah iklan komersial berimpak tinggi, Bobby Husaini kini mengorak langkah berani ke layar perak menerusi buah tangan sulungnya, Libang Libu.
Dikenali dengan sentuhan kreatif yang sering menyentuh emosi dalam naskhah korporat dan perayaan, anak jati Ipoh ini menyifatkan peralihan tersebut sebagai satu evolusi kerjaya yang sudah lama diimpikan.
Bagaimanapun, Bobby menjelaskan bahawa penglibatannya dalam dunia perfileman bukanlah titik noktah kepada kerjayanya dalam bidang periklanan yang telah diceburi sejak bermula sebagai penulis iklan (copywriter).

”Kemunculan saya sebagai pengarah filem bukan bermakna saya meninggalkan dunia iklan. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang baharu. Saya masih mahu terus mengarah iklan, dan pada masa sama menunaikan impian untuk mengarah filem,” katanya.
Lari Daripada Bayang-Bayang Iklan
Mengulas mengenai skeptikal sesetengah pihak yang bimbang gaya penceritaan iklan akan mendominasi naskhah layar lebarnya, Bobby mengakui cabaran tersebut.
Namun, beliau yakin setiap karya harus dinilai berdasarkan ‘rasa’ dan mesej yang ingin disampaikan.
”Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini. Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.
”Ramai mengatakan iklan saya sedih, tetapi itu bukan tujuan utama saya. Sebenarnya, setiap karya membawa mesej yang dekat dengan masyarakat, dan mungkin itu yang membuatnya terasa menyentuh hati,” jelasnya lagi.

Libang Libu yang dijadualkan menemui penonton pada 23 April ini, mula menarik perhatian peminat filem tempatan yang menyamakan gaya penceritaannya dengan sentuhan ikon filem negara, Allahyarham Mamat Khalid.
Menyifatkan perbandingan tersebut sebagai satu penghormatan besar, Bobby bagaimanapun menegaskan beliau tetap mengekalkan identiti sendiri.
Pemilihan lokasi di Perak bukan sekadar estetika, malah ia merupakan refleksi memori masa kecilnya di sana.
”Arwah adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau. Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana.
”Tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya ia gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita,” tambahnya.
Filem ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran barisan pelakon berkaliber seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyairi, dan Nabila Huda.
Menurut Bobby, pemilihan pelakon gred A ini penting bagi memastikan mesej berlapis dalam filem tersebut dapat disampaikan dengan berkesan, memandangkan Libang Libu turut mengangkat pelbagai isu sosial di sebalik elemen jenaka yang dipaparkan.
”Cabaran paling besar bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri. Namun, saya berpesan agar mereka tidak tertekan kerana yang paling utama adalah penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya.




