Ikuti Kami:

LEV Curi Perhatian Dengan Single Sulung “Aku Bukan Bosan”

LEV Curi Perhatian Dengan Single Sulung “Aku Bukan Bosan”

Kumpulan muzik baharu, LEV, tampil secara rasmi dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran single pertama mereka berjudul Aku Bukan Bosan yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

LEV yang ditubuhkan pada 13 Mei 2022 dianggotai oleh tiga pemuzik muda iaitu Leo Azman selaku vokalis, komposer dan penulis lirik, Riz sebagai gitaris, dan Kecik sebagai pemain bass.

Mereka kini bernaung di bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., yang turut menguruskan kumpulan terkenal MASDO.

Lagu Aku Bukan Bosan merupakan ciptaan penuh Leo Azman, manakala penerbitan, adunan dan mastering dijalankan oleh Andi dari kumpulan Fourtwnty, Indonesia. Proses rakaman lagu ini berlangsung di Bijanfx Studio dan melalui lima fasa draf dalam tempoh dua minggu sebelum dimuktamadkan.

Mengangkat tema pengorbanan dan kepercayaan dalam hubungan jarak jauh, lagu ini memberi fokus kepada realiti hidup lelaki yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi mencari rezeki.

Liriknya menyentuh cabaran komunikasi dan salah faham yang timbul apabila waktu tidak mengizinkan mereka sentiasa hadir dalam kehidupan insan tersayang.

Menurut Andi, lagu ini dirakam dengan matlamat untuk mewakili suara golongan yang sering terpinggir.

“Kami mahu lagu ini menjadi suara buat mereka yang tidak pandai meluah. Muzik boleh bercakap untuk mereka,” katanya.

Sebelum dilancarkan secara rasmi, lagu ini telah dipersembahkan dalam siri Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Persembahan tersebut menjadi pentas awal memperkenalkan identiti muzik LEV kepada khalayak ramai.

Dengan melodi yang bersahaja dan lirik yang jujur, Aku Bukan Bosan menjadi langkah pertama LEV ke arah pembentukan identiti sebagai kumpulan yang mengetengahkan isu realiti tanpa drama berlebihan.

Lagu ini turut dianggap sebagai penghargaan kepada para pejuang kehidupan yang berkorban demi keluarga.

Single Aku Bukan Bosan kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Komen
Loading...