Ikuti Kami:

Let’s Raya 2026: Festival 88 Jam Tanpa Henti di WTC KL, ‘Hujan Duit’ RM18,888 Menanti Pengunjung

Let’s Raya 2026: Festival 88 Jam Tanpa Henti di WTC KL, ‘Hujan Duit’ RM18,888 Menanti Pengunjung

Festival raya berskala nasional dan antarabangsa, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 bakal mencetuskan fenomena tersendiri apabila dijadualkan berlangsung selama 88 jam tanpa henti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL).

Bermula 12 hingga 15 Mac depan, festival mega ini memperkenalkan konsep unik “masuk bila-bila, raikan raya tanpa henti” yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada pengunjung untuk membeli-belah dan beraktiviti sepanjang masa penganjuran.

Pengarah Projeknya, Kelly Azman berkata, keunikan utama festival ini adalah pemisahan zon masa yang dirangka khusus bagi memastikan kesantunan serta roh Ramadan tetap terpelihara walaupun acara berlangsung dalam tempoh yang lama.

“Dari waktu siang hingga awal malam, pengisian kami lebih menjurus kepada aktiviti keagamaan dan kerohanian. Manakala dari malam hingga awal pagi pula, festival akan dimeriahkan dengan aktiviti fesyen, kecantikan, perniagaan serta hiburan yang terkawal,” katanya pada sidang media di Riverside Cafe, WTC, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Seiring dengan slogan “Lebih Banyak, Lebih Masa, Let’s Raya!”, penganjuran kali ini menyasarkan lebih satu juta pengunjung merangkumi pelbagai segmen termasuk keluarga, peminat fesyen, pencipta kandungan digital serta pelancong antarabangsa.

Antara tarikan paling dinantikan sudah pastinya segmen eksklusif ‘Happy Hour Hujan Duit’ yang akan diadakan pada waktu-waktu tertentu sepanjang festival, menawarkan nilai wang tunai keseluruhan sehingga RM18,888.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai sehingga RM188,888 sebagai nilai tambah kepada pengalaman membeli-belah mereka.

Tambah Kelly, pemilihan tarikh iaitu 10 hari sebelum Aidilfitri dilihat sangat strategik bagi membantu usahawan tempatan melonjakkan jualan mereka.

“Pada waktu kemuncak ini, pengunjung hadir dengan fokus untuk membeli. Ia adalah platform terbaik buat vendor untuk menjana pendapatan luar biasa, seolah-olah berniaga selama dua bulan dalam satu masa,” jelas beliau lagi.

Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada 88 selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air, termasuk penampilan istimewa legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah serta pasangan popular Ernie Zakri dan Syamel.

Selain aktiviti jualan melibatkan hampir 1,000 gerai, pengunjung juga boleh menikmati juadah berbuka puasa dan sahur menerusi Rasa Fusion Food Festival yang turut diadakan di bawah satu bumbung yang sama.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @letsrayawtc dan @gerobokbiru atau menggunakan tanda pagar #letsrayagegakgempitaraya2026.

Komen
Loading...