Ikuti Kami:

‘Let’s Play!’: Mickey & Team Spidey Tampil Live di Arena of Stars

‘Let’s Play!’: Mickey & Team Spidey Tampil Live di Arena of Stars

Penggemar cilik Disney bakal disajikan dengan pengalaman magis yang tidak boleh dilepaskan apabila watak-watak popular seperti Mickey Mouse, Ariel dan Team Spidey tampil secara langsung dalam Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Persembahan istimewa ini akan berlangsung selama empat hari bermula 29 Ogos hingga 1 September 2025, dengan lapan persembahan penuh warna-warni dan interaktif yang dijamin menghiburkan seisi keluarga.

Dalam produksi muzikal yang memukau ini, Mickey Mouse merancang satu temu janji permainan paling menyeronokkan bersama rakan-rakannya di Clubhouse. Namun, rancangan tersebut terganggu apabila fenomena cuaca hijau misteri muncul secara tiba-tiba.

Ketika situasi menjadi genting, Team Spidey dari Spidey and His Amazing Friends tampil menyelamatkan keadaan dengan bantuan penuh aksi dan semangat kepahlawanan.

Antara watak-watak kesayangan yang turut menjayakan persembahan ini termasuk Minnie Mouse, SuperKitties dan Puppy Dog Pals. Penonton akan dibawa menyelusuri satu pengembaraan yang penuh nyanyian, tarian, visual 3D yang menakjubkan serta aksi akrobatik yang mendebarkan.

Menurut penerbit dari Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank, kehadiran produksi ini ke Malaysia adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan selepas sambutan hangat yang diterima di Amerika Syarikat dan pelancaran antarabangsa di London.

“Selepas mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat dan membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa di London, kami amat teruja untuk membawa produksi ajaib ini kepada keluarga di Malaysia.” katanya.

Tiket untuk Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! akan mula dijual bermula 12 tengah hari pada Rabu, 11 Jun 2025 menerusi laman web rwgenting.com dan ticketingtix.com.

Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan lanjut di media sosial rasmi dengan menggunakan tanda pagar #DisneyJrTour.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keajaiban Disney secara langsung dan mencipta memori indah bersama anak-anak sempena cuti hujung minggu panjang ini di Resorts World Genting.

Komen
Loading...