Ikuti Kami:

‘Let’s Do It All Again’ Hadiah Buat Peminat Disagree, Selepas Lebih Sedekad Menyepi

‘Let’s Do It All Again’ Hadiah Buat Peminat Disagree, Selepas Lebih Sedekad Menyepi

Selepas lebih sedekad menyepi daripada radar industri muzik tanah air, kumpulan alternatif rock terkemuka Malaysia, Disagree, kembali mengubati kerinduan peminat dengan pelancaran single baharu mereka berjudul “Let’s Do It All Again”.

Single berkenaan merupakan naskhah pembuka tirai sebelum peluncuran album penuh mereka akan datang yang bertajuk “Black & White in Colour”.

Kini tampil dengan barisan tiga ahli iaitu Zahid, Hamka dan Taa, kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena dalam arena muzik indie tempatan pada awal tahun 2000-an itu menyifatkan kemunculan semula ini sebagai satu tanggungjawab yang belum selesai buat para penyokong tegar mereka.

“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal (dahulu). Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, fasa rehat panjang yang diambil sebelum ini berpunca daripada komitmen komersial, tuntutan keluarga serta keutamaan kerjaya masing-masing, sekali gus meninggalkan legasi rock alternatif mereka seketika tanpa sebarang kata putus.

Mengulas mengenai pengisian “Let’s Do It All Again”, lagu berkenaan digambarkan sebagai sebuah ‘surat permohonan maaf’ yang ikhlas serta jemputan terbuka untuk kembali menjalinkan hubungan yang pernah terputus antara pihak band dan peminat.

Bagi memastikan kualiti bunyi bertaraf antarabangsa, proses rakaman lagu tersebut telah dijalankan di Malaysia dan Australia, selain mendapat sentuhan magis pemenang pelbagai anugerah Anugerah Industri Muzik (AIM), Greg Henderson selaku pengadun dan penerbit.

Ia turut mendapat khidmat master daripada pemenang anugerah Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.

Untuk rekod, Disagree sebelum ini merupakan antara nama besar yang sering mendominasi festival ikonik Rock The World, selain pernah diberi penghormatan sebagai aksi pembuka tirai untuk konsert kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.

Kumpulan itu juga pernah meraih pengiktirafan menerusi tiga kemenangan di pentas AIM termasuk kategori Artis Baru Terbaik, Album Inggeris Terbaik, dan Kulit Album Terbaik, selain memegang rekod Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada tahun 2005.

Bersempena dengan fasa baharu ini, Disagree turut merancang untuk mengadakan siri interaksi eksklusif serta penampilan khas di seluruh negara bagi merapatkan semula jurang bersama peminat yang sekian lama menanti kepulangan mereka.

‘Let’s Do It All Again’ kini boleh di strim di semua digital streaming platform.