Lelaki Cina Terima Anugerah Maulidur Rasul, Jaga 3 Anak Angkat Muslim Sejak 16 Tahun Lalu – “Tak Sangka Dihargai Sebegini Rupa”
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Seorang lelaki berbangsa cina yang lebih dikenali sebagai Uncle Mike atau nama sebenarnya Michael Tong Wai Siong,55, meluahkan rasa terkejut dan terharu apabila menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun ini.
Kisah Uncle Mike yang menjadi tular kerana menjaga tiga anak lelaki beragama Islam sejak 16 tahun lalu telah melayakkan beliau untuk menerima anugerah tersebut.
Mengimbas kembali, lelaki itu kerap melakukan kerja kebajikan dan kerap mengikuti program rumah amal melalui kelab kereta yang disertainya telah menemukan dia dengan tiga anak lelaki melayu itu.
Dia yang menerima anugerah tersebut turut mendapat peluang keemasan apabila Yang di-Pertuan Agong sendiri berkenan untuk menyampaikan anugerah tersebut.
Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka saya dari keluarga yang biasa ini dapat penghargaan sebegini rupa.
Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan tolong lebih ramai yang memerlukan.
Difahamkan, Uncle Mike mengambil Rafei Ahmad Fauzi sebagai anak angkat ketika dia berusia 12 tahun. Namun, kerana tidak sanggup melihat dua lagi adik Rafei bersedih disebabkan perlu berpisah, lelaki itu menjaga ketiga-tiganya.
Rafei,29, dan dua lagi adik, Rasyid,28, dan Abdul Rahman,24, sudah bersama Uncle Mike sejak 16 tahun lalu dan mengakui masih menyayangi ayah angkat mereka meskipun berlainan bangsa dan agama.