
Nama Cromok dan Amuk telah terpahat dalam sejarah muzik tanah air sebagai dua kumpulan legenda yang membawa genre thrash metal dan rock + metal ke tahap tersendiri.
Ditubuhkan pada 1987, Cromok mencipta nama sebagai perintis muzik thrash metal Malaysia, manakala Amuk, yang mula beraksi pada 1998, mengejutkan industri dengan kombinasi unik rock dan metal yang berjiwa tempatan.
Kini, dua nama besar ini bakal bergabung untuk menggegarkan N9 Arena, Nilai pada Sabtu, 26 April 2025, jam 9 malam, menerusi Konsert Kasi Gegar: Cromok vs Amuk.
Menurut Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke, konsert ini mencipta sejarah sebagai gandingan pertama Cromok dan Amuk di pentas yang sama.
Tambahan pula, ia menjadi persembahan sulung di N9 Arena, Nilai selepas dinaik taraf daripada Stadium Tertutup Nilai.
“Kolaborasi ini sudah lama dinantikan peminat. Dengan Cromok dan Amuk di pentas yang sama, kita akan menyaksikan satu persembahan yang sukar dilupakan,” katanya.
Vokalis Amuk, Bandi, mendedahkan idea gandingan ini sudah lama menjadi perbualan peminat.
“Dulu peminat sering bertanya bila Amuk dan Cromok akan beraksi bersama. Album pertama Amuk, Tanpa Prejudis, juga menampilkan lagu-lagu Cromok dalam versi Melayu. Jadi, konsert ini adalah peluang untuk memenuhi impian ramai,” katanya.
Sam, vokalis Cromok, menyatakan keterujaannya terhadap kolaborasi unik ini dan percaya duet antara dirinya dan Bandi akan menggamit emosi peminat dari pelbagai generasi.
“Kolaborasi ini sangat unik. Bayangkan duet antara saya dan Bandi – sesuatu yang pasti menggamit emosi peminat lama dan baru.” katanya.
Konsert ini akan menyaksikan Cromok dan Amuk membawakan lagu-lagu hits mereka yang diolah khas untuk malam istimewa ini.
Amuk juga merancang menyatukan barisan pemuzik berbakat seperti Metal Bugis dan Metal Jawa untuk menghasilkan bunyi yang lebih segar dan memukau.
Karl, pemain gitar Cromok, menegaskan pentingnya persembahan ini menjadi pembuka tirai yang hebat untuk tahun 2025.
“Kami mahu pastikan konsert ini memberikan pengalaman luar biasa, dari segi muzik dan suasana,” katanya.
Konsert ini menawarkan pelbagai kategori tiket, bermula dari RM118 untuk kategori berdiri sehingga RM488 untuk kategori GS. Tiket boleh dibeli di n9arena.ubertickets.asia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Legenda Rock & Metal Malaysia: Cromok vs Amuk – kolaborasi epik yang bakal mencipta sejarah baru dalam dunia muzik tanah air.