Legenda Rock Deep Purple Kembali Ke Malaysia, Mega Star Arena Jadi Saksi
- oleh Mohd Indera
- 15 Jul 2025 9:25 pm

Kumpulan rock legenda dunia, Deep Purple, bakal kembali menggegarkan Malaysia selepas lebih 15 tahun apabila memilih Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi persinggahan mereka di Asia Tenggara menerusi konsert yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena pada 23 November ini.
Konsert bersejarah ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, yang bertindak membawa nama besar tersebut kembali ke pentas tempatan bagi memenuhi permintaan peminat rock tanah air yang sekian lama menanti.
Deep Purple yang mula mencipta nama sejak 1968 merupakan antara perintis kepada genre hard rock dan heavy metal yang terus relevan sehingga hari ini.
Dengan deretan 23 album studio dan lebih 100 juta unit jualan di seluruh dunia, kumpulan ini kekal sebagai ikon berpengaruh dalam sejarah muzik global.
Antara pengiktirafan tertinggi yang pernah diterima mereka termasuk Rock and Roll Hall of Fame, Legend Award di World Music Awards serta penghormatan menerusi senarai Rolling Stone 2012 bagi album live terbaik sepanjang zaman menerusi ‘Made in Japan’.
Pengaruh mereka turut menjadi inspirasi kepada nama-nama besar dalam industri muzik seperti Metallica, Aerosmith dan Van Halen yang mengakui karya Deep Purple membentuk asas muzik mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, pihaknya amat berbesar hati dapat membawa kembali Deep Purple ke Malaysia setelah kali terakhir mereka membuat persembahan di sini pada tahun 2010.
“Kami melihat kebangkitan semula minat terhadap konsert rock di Malaysia dan komited menyokong gelombang ini dengan membawa legenda seperti Deep Purple ke sini. Legasi mereka tidak perlu diperkenalkan lagi dan kini tibalah masa peminat tempatan merasai kehebatan mereka secara langsung,”
“Kuala Lumpur menjadi satu-satunya hentian mereka di Asia Tenggara. Ini bukan sekadar persembahan untuk peminat lama, tetapi juga peluang untuk memperkenalkan muzik dan persembahan pentas Deep Purple kepada generasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Lagu-lagu ikonik seperti ‘Smoke on the Water’ dan ‘Highway Star’ pasti akan mencetuskan kenangan dan pengalaman yang sukar dilupakan,” tambahnya.
Tiket bagi konsert ‘Deep Purple Live In Malaysia’ akan mula dijual pada 30 Julai 2025, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com dengan harga tiket bermula dari RM299 hingga RM2,099 mengikut kategori.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan konsert boleh diajukan menerusi talian +6012-2655783 atau emel ke [email protected].