Ikuti Kami:

Legenda Indonesia Radja Dan Wali Janji Kejutan Untuk Peminat Malaysia

Legenda Indonesia Radja Dan Wali Janji Kejutan Untuk Peminat Malaysia

Dua kumpulan legenda muzik Indonesia, Radja dan Wali, bakal berkongsi pentas buat pertama kali di Malaysia menerusi konsert istimewa yang dijadual berlangsung pada 10 Januari depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Bagi peminat yang membesar dengan lagu-lagu cinta dan patah hati dari seberang pada era 2000-an, nama Radja dan Wali pasti membangkitkan kenangan lama.

Lagu seperti Jujur, Yank dan Baik-Baik Sayang masih segar di ingatan dan sering menjadi pilihan pendengar hingga ke hari ini.

Gitaris Radja, Moldy Kusnadi, berkata konsert itu cukup bermakna kerana buat pertama kalinya mereka akan berkongsi pentas dengan Wali, sesuatu yang belum pernah berlaku walaupun di Indonesia.

“Ini kali pertama Radja dan Wali tampil bersama di pentas besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga secara keseluruhan. Ia detik bersejarah buat kami dan peminat.

Kami juga ada kejutan istimewa untuk penonton, tapi biarlah menjadi rahsia dahulu,” katanya pada sidang media maya yang diadakan di Redbox The Garden, Mid Valley City, hari ini.

Konsert yang dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn Bhd dengan kerjasama GIS Entertainment & Events ini bakal mengimbau kenangan dua dekad lalu melalui seleksi lagu-lagu cinta yang pernah mencipta fenomena di rantau ini.

Walaupun kini Radja tidak lagi lengkap dengan dua anggota asalnya, Moldy menegaskan bahawa persembahan mereka akan tetap penuh tenaga dan emosi seperti dahulu.

Sementara itu, pemain dram Wali, Tomi, meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat daripada peminat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan muzik mereka.

“Kami sangat menghargai penerimaan peminat di Malaysia. Lagu-lagu Wali sentiasa mendapat tempat di hati mereka, dan kami janji akan beri persembahan terbaik,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1999, Wali dianggotai Faank (vokalis), Apoy (gitaris dan komposer), Ovie (pemain kibod) dan Tomi (dram).  Antara lagu popular mereka termasuk Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Yank.

Radja dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram), kumpulan Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001.

Tiket konsert berharga antara RM177 hingga RM977 kini dibuka untuk jualan melalui laman rasmi Fantopia.io dan dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat kedua-dua kumpulan legenda itu.

Komen
Loading...