Ikuti Kami:

Legenda Bollywood B Praak Umum Konsert Sulung di Malaysia

Legenda Bollywood B Praak Umum Konsert Sulung di Malaysia

Penyanyi dan komposer terkenal Bollywood, B Praak, bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 28 Jun 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert ini merupakan sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara pertama beliau dan menandakan kali pertama B Praak mengadakan persembahan di rantau ini, membawa pengalaman muzik Bollywood dan pop Desi kontemporari secara langsung kepada peminat tempatan.

Dikenali dengan vokal penuh emosi dan deretan lagu hits seperti “Mann Bharryaa”, “Teri Mitti”, “Filhaal”, dan “Ranjha”, B Praak telah menjadi antara suara paling berpengaruh dalam industri muzik Bollywood.

Sebelum bergelar penyanyi, beliau merupakan komposer dan penerbit muzik tersohor dalam arena muzik Punjabi, menghasilkan lagu untuk nama-nama besar seperti Jassie Gill, Harrdy Sandhu, Amrinder Gill, Gippy Grewal, Diljit Dosanjh dan Ammy Virk.

Bakat nyanyiannya mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau memenangi Anugerah Filem Kebangsaan India untuk Penyanyi Latar Lelaki Terbaik pada tahun 2021.

Setelah berjaya memukau penonton di India, Sydney, dan Dubai pada tahun 2024, kini giliran peminat Malaysia untuk menyaksikan persembahan bertenaga beliau secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata konsert ini dijangka menerima sambutan hangat, selepas kejayaan konsert artis Bollywood lain di Malaysia sebelum ini.

“Selepas sambutan luar biasa terhadap konsert Arijit Singh dan kejayaan Rahat Fateh Ali Khan di Singapura, kami melihat permintaan tinggi terhadap pengalaman muzik Bollywood di Malaysia. B Praak adalah pilihan yang tepat untuk meneruskan momentum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dengan kerjasama EYP Creations sebagai pengurus artis, serta sokongan stesen radio Raaga, THR Gegar dan rakan media Varnam.

Harga tiket ditawarkan dalam lingkungan RM198 hingga RM698, bergantung kepada kategori tempat duduk.

Tiket bagi menyaksikan konsert B Praak akan mula dijual menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com, dengan jualan pra-pendaftaran bermula 29 April 2025 jam 12.00 tengah hari, dan jualan umum bermula 30 April 2025 jam 12.00 tengah hari.

Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan yang dijangka tinggi bagi acara bersejarah ini.

Komen
Loading...