Legacy 30: Siti Nurhaliza Dedah Peminat Kena ‘Scam’ Tiket Tetap Dapat Masuk
- oleh MDaily Editor
- 17 Jan 2026 1:36 pm
Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mendedahkan terdapat segelintir peminat setianya menjadi mangsa penipuan (scam) tiket ketika konsert berskala besar yang dianjurkannya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, atas dasar keprihatinan, pengurusan SN Legacy mengambil pendekatan luar biasa dengan membenarkan mangsa-mangsa berkenaan tetap memasuki stadium bagi menyaksikan persembahan tersebut meskipun memegang tiket palsu.
Siti berkata, perkara itu dikesan pada hari kejadian apabila terdapat penonton yang memegang tiket tidak sah namun tetap hadir kerana terlalu ingin menyaksikan persembahan beliau.

”Ada peminat yang tiket mereka kena ‘scam’. Jadi apa yang kami buat, kita kumpulkan mana yang boleh dikumpulkan dan pihak kami memang memberi peluang untuk mereka masuk juga.
”Cuma mereka tidak mendapat tempat duduk yang sepatutnya lah kerana tiket itu bukan tiket sah. Kita faham perasaan mereka yang sudah datang jauh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun dan Aspirasi Media yang dianjurkan oleh SN Legacy di Monstera Hall, Forest Valley, di sini, semalam.
Mengulas mengenai penganjuran konsert yang mengumpulkan hampir 65,000 penonton itu, Siti yang juga penggerak utama SN Legacy, mengakui pihaknya sangat teliti bagi mengelakkan sebarang imej negatif terhadap kredibiliti penganjur.
”Saya ada pengalaman sebelum ini, jadi kali ini kami sangat berhati-hati. Alhamdulillah, dari segi pengurusan penonton, barisan tiket dan aliran masuk, kita mendapat pujian daripada pihak pengurusan stadium sendiri kerana semuanya lancar,” katanya lagi.

Dato’ Seri Siti Nurhaliza, meluangkan masa untuk mengabadikan kenangan bersama barisan pengamal media ‘senior’ yang sentiasa memberi sokongan padu kepada beliau sejak awal pembabitan dalam dunia seni.
Dalam majlis yang sama, Siti turut berkongsi rasa bangga apabila kualiti produksi konsertnya mendapat maklum balas positif, malah ada yang menyamakannya dengan standard konsert antarabangsa.
”Ada peminat yang pernah menonton konsert Coldplay dan artis luar negara lain memberitahu bahawa kualiti kita, termasuk penggunaan lampu LED dan kesan visual, adalah setanding malah lebih baik. Ini bukan untuk kebanggaan saya peribadi, tetapi untuk membuktikan industri muzik tempatan mampu bersaing di tahap tertinggi,” tegasnya.
Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Siti mengesahkan bakal muncul dengan sebuah Konsert Tradisional pada tahun ini.
”Jika dahulu konsert Lentera Timur diadakan di Istana Budaya, kali ini saya merancang untuk membawakannya ke lokasi yang lebih besar bagi memenuhi permintaan peminat muzik tradisional,” katanya yang kini sudah mencecah 30 tahun penglibatan dalam dunia seni.




