Lee Je Hoon bakal gegar Zepp KL menerusi ‘Our 20th Moment’
- oleh MDaily Editor
- 15 Feb 2026 6:08 pm
Bintang tersohor Korea Selatan, Lee Je Hoon, bakal kembali ke ibu kota bagi meraikan ulang tahun ke-20 penglibatannya dalam industri seni menerusi acara fan meeting eksklusif, 2026 LEE JE HOON FANMEETING [Our 20th Moment], pada 11 April depan.
Acara yang dinantikan ramai itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada jam 6 petang, sebagai tanda penghargaan pelakon drama popular Taxi Driver itu terhadap sokongan tidak berbelah bahagi peminat di Malaysia sepanjang dua dekad kariernya.
Penganjur bersama, TopGallant Show dan Shanghai SanYanSiYu Cultural Creativity dalam satu kenyataan berkata, kunjungan kali ini bukan sekadar pertemuan biasa, malah peminat berpeluang menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan istimewa dan sesi interaksi lebih dekat.
“Fan meeting ini diadakan sebagai satu perkongsian detik bermakna antara Lee Je Hoon dan peminat. Selain melihat kembali perjalanan seni beliau, peminat bertuah juga bakal menerima faedah eksklusif seperti sesi hi-touch, fotografi dan poster bertandatangan,” kata kenyataan itu.

Nama Lee Je Hoon mula melonjak menerusi filem indie Bleak Night (2011) dan naskhah box-office Architecture 101 (2012).
Beliau kemudiannya mengukuhkan kedudukan sebagai aktor gred A menerusi drama berantai Signal serta siri fenomena Taxi Driver yang melayakkannya merangkul anugerah utama (Daesang) di Anugerah Drama SBS pada 2023 dan 2025.
Bagi yang tidak mahu ketinggalan, tiket akan mula dijual pada 25 Februari 2026 (Rabu) bermula jam 12 tengah hari menerusi platform fantopia.io, my.trip.com dan www.ctrip.com.
Harga tiket ditetapkan mengikut kategori bermula RM398 (Zon A), RM658 (VIP), RM888 (SVIP) sehingga RM4,988 bagi kategori VIP Box. Setiap kategori menawarkan pelbagai kelebihan termasuk tiket cenderamata eksklusif dan peluang sesi sound check.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, peminat boleh melayari laman web rasmi penganjur di www.topgallantshow.com.




