Ikuti Kami:

Lebih Indah Berpisah: Bella Astillah & Ade Govinda Bersatu Dalam Lagu Menyentuh Hati

Lebih Indah Berpisah: Bella Astillah & Ade Govinda Bersatu Dalam Lagu Menyentuh Hati

Penyanyi berbakat Malaysia, Bella Astillah, kembali menyentuh hati pendengar dengan single terbaharunya bertajuk Lebih Indah Berpisah, sebuah kolaborasi emosional bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Lagu ini membawa pendengar menelusuri perasaan tulus seorang insan yang berani memilih perpisahan demi membebaskan diri dari cinta yang tidak lagi dihargai.

Mesejnya jelas: melepaskan bukan bererti lemah, tetapi langkah penuh keberanian untuk membuka ruang kepada kebahagiaan yang lebih sejati.

Ade Govinda, pencipta dan penerbit muzik untuk lagu ini, menyifatkan karya tersebut sebagai luahan jiwa tentang kekuatan memilih kebebasan diri.

“Lebih Indah Berpisah bukan sekadar melodi, ia adalah penghormatan kepada mereka yang mampu bangkit daripada hubungan yang tidak seimbang. Kadangkala, berpisah itu lebih indah daripada terus berjuang sendirian,” ujarnya.

Bagi Bella, lagu ini sangat istimewa dan personal. Beliau berkongsi bahawa pemilihan tajuk yang menekankan perkataan “indah” adalah untuk menggambarkan sisi positif dalam perpisahan yang selalunya dianggap pahit.

“Lagu ini ditulis dengan jiwa dan semangat. Ia adalah gambaran keikhlasan melepaskan sesuatu yang tidak lagi baik untuk diri sendiri,” katanya.

Mengulas tentang proses rakaman, Bella meluahkan rasa syukur dapat bekerjasama dengan pasukan yang penuh profesionalisme dan hormat.

“Suasana studio sangat menyokong, tiada tekanan. Mereka buat saya rasa yakin dan bersemangat untuk memberi yang terbaik,” jelasnya.

Lagu ini turut menjadi medium buat Bella untuk menyampaikan kekuatan kepada para pendengar yang mungkin sedang melalui kesedihan atau dilema dalam hubungan mereka.

“Saya harap lagu ini dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang dalam fasa sukar. Dan lebih penting, semoga ia dekat di hati pendengar, sama ada di Malaysia atau Indonesia,” tambahnya.

Ade Govinda pula tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap Bella. Menurutnya, Bella menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi, bukan sahaja dalam nyanyian, malah dalam penghayatan video muzik.

“Tak ramai artis wanita muda yang mampu menzahirkan ketabahan dan ketulusan seperti Bella. Dia benar-benar memberi segalanya,” katanya.

Lebih Indah Berpisah kini boleh distrim di semua platform digital utama, manakala video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube.

Komen
Loading...