Lebih 6,500 Peserta Gegar Larian Kiprun 2026, KL Perkasa Gaya Hidup Aktif
- oleh MDaily Editor
- 28 Mar 2026 5:06 pm
Lebih 6,500 peserta dijangka menyertai Larian Kiprun 2026 anjuran Decathlon yang berlangsung di ibu negara pagi esok, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar yang semakin rancak dengan aktiviti gaya hidup sihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penganjuran acara itu buat pertama kali di rantau Asia Pasifik membawa makna besar, bukan sekadar acara sukan tetapi simbol keyakinan jenama global terhadap potensi Kuala Lumpur.
Menurut beliau, acara tersebut juga menjadi platform yang menghimpunkan komuniti aktif, jenama antarabangsa dan rakyat tempatan dalam satu ekosistem yang inklusif.
“Berjalan dan berlari hari ini bukan lagi sekadar sukan, tetapi satu gerakan. Ia menghubungkan komuniti dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus bergerak,” katanya pada sidang media selepas peluncuran kasut larian jenama KIPRUN di butik Decathlon di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, kehadiran ribuan peserta mencerminkan perubahan positif dalam gaya hidup masyarakat yang kini lebih cenderung kepada aktiviti fizikal.

“Tidak kira sama ada anda pantas atau perlahan, yang penting adalah memulakan langkah dan menamatkan perjalanan. Semangat inilah yang kita mahu pupuk,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa bandar yang aktif memerlukan sokongan infrastruktur yang menyeluruh termasuk ruang awam yang selamat, selesa dan mudah diakses.
Sehubungan itu, kerajaan memberi fokus kepada usaha “mengembalikan bandar kepada rakyat” dengan membuka serta melindungi hampir 500 kemudahan awam di sekitar Kuala Lumpur.
Tambahnya, lebih 200 kemudahan awam turut didigitalkan bagi memastikan akses yang lebih telus dan mudah kepada orang ramai, selain membantu perancangan bandar yang lebih efisien.

Beliau berkata, penambahbaikan turut melibatkan sistem pembangunan bandar melalui portal dalam talian DBKL-OSC yang membolehkan pemantauan lebih terbuka oleh pelbagai pihak berkepentingan.
Selain itu, kerajaan juga mengurangkan caj lesen berkaitan kemudahan tertentu sehingga 20 peratus, daripada RM50 kepada RM10 bagi setiap kaki persegi, bagi mengurangkan kos dan menggalakkan lebih banyak aktiviti komuniti.
Mengulas aspek kesihatan, Hannah mendedahkan kadar obesiti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan antara yang tertinggi di negara ini, menjadikan inisiatif menggalakkan aktiviti fizikal sebagai satu keutamaan.
Katanya, usaha memperluaskan akses kepada kemudahan sukan turut dipertingkatkan termasuk menyediakan lebih banyak program untuk golongan kanak-kanak dan komuniti kurang berkemampuan.
“Jika sesuatu jenama mahu berkembang di Kuala Lumpur, ia perlu berkembang bersama rakyat. Sukan tidak boleh eksklusif, ia mesti untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai menyokong inisiatif hari tanpa kenderaan yang diadakan setiap minggu dari jam 7 hingga 9 pagi bagi menjadikan ibu negara lebih mesra pejalan kaki.
“Bandar hebat bukan diukur melalui kelajuan kenderaan, tetapi sejauh mana rakyat bebas bergerak,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak acara berimpak tinggi seperti Larian Kiprun dapat dianjurkan pada masa depan bagi memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai bandar yang aktif, sihat dan inklusif.




