Ikuti Kami:

Lebih 3,000 Kucing Terima Bantuan Menerusi Program Purr-Fect Care di Perlis

Lebih 3,000 Kucing Terima Bantuan Menerusi Program Purr-Fect Care di Perlis

Usaha menjaga kebajikan haiwan terlantar terus diberi perhatian apabila lebih 3,000 ekor kucing di Bustana Kucing Perlis menerima bantuan menerusi program Purr-Fect Care by Si Comot, anjuran Powercat dengan kerjasama Kelab Khidmat Masyarakat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini memberi fokus terhadap keperluan asas kucing yang ditempatkan di pusat perlindungan yang dikendalikan oleh pasangan Mohd Taufik Md Zain dan Noor Azlina Abu Bakar.

Ribuan kucing di situ, termasuk yang uzur dan memerlukan rawatan khas, bergantung sepenuhnya kepada sumbangan luar untuk kelangsungan hidup.

Bagi membantu mengurangkan beban pengurusan, pihak Si Comot telah menyumbangkan sebanyak 800 kilogram makanan kucing serta pelbagai peralatan keperluan harian.

Sumbangan ini dijangka dapat bertahan untuk tempoh beberapa bulan dan membantu memastikan kucing-kucing di sana terus mendapat makanan dan penjagaan sewajarnya.

“Shelter ini menampung ribuan kucing, dan kos penjagaan amat tinggi. Bantuan seperti ini amat kami hargai kerana ia memberi nafas baharu buat haiwan-haiwan ini,” kata Mohd Taufik yang mengendalikan Bustana Kucing sejak beberapa tahun lalu bersama isterinya.

Selain bantuan fizikal, program ini turut mendapat sentuhan komuniti apabila para pelajar dari Kelab Khidmat Masyarakat UniMAP turun padang membantu membersihkan dan menyusun semula kawasan perlindungan tersebut, menunjukkan sokongan terhadap kebajikan haiwan jalanan.

Personaliti media sosial seperti @king_oyen2022 dan @nabilahbahrin_, yang terkenal dengan kandungan berkaitan kucing, turut serta menjayakan program dan berkongsi mesej kesedaran kepada pengikut mereka.

Turut hadir ialah personaliti TV terkenal, Maria Tunku Sabri, yang menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai satu pengalaman bermakna.

“Saya bangga dapat turut serta dalam inisiatif ini. Haiwan juga memerlukan kasih sayang dan perhatian. Bantuan seperti ini amat besar ertinya buat mereka,” ujar beliau.

Menurut Azzedin Rusland, Business Manager Powercat, pihaknya komited untuk meneruskan program Purr-Fect Care ke lebih banyak pusat perlindungan haiwan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat kemanusiaan dalam masyarakat.

“Bukan sekadar memberi, kami mahu mencetuskan budaya prihatin terhadap nasib haiwan yang sering terpinggir,” katanya.

Program ini dijangka akan diteruskan di beberapa negeri lain sepanjang tahun, dalam usaha memastikan lebih banyak haiwan terlantar mendapat bantuan sewajarnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti Powercat Malaysia di media sosial rasmi @powercatofficial.

Komen
Loading...